
BACHOK: Industri penternakan ikan hiasan laga (Betta) yang dahulunya sekadar hobi mengisi masa lapang kini berkembang menjadi sumber pendapatan lumayan kepada penduduk setempat, khususnya golongan belia.
Walaupun bermula secara kecil-kecilan, pengusaha dan penternak ikan laga tempatan mendedahkan perniagaan itu mampu menjana pulangan ekonomi stabil sekiranya diurus menggunakan sistem dan kaedah yang betul.
Pengusaha ikan laga, Muhammad Izzad Haikal Mansor, 38, berkata semakin ramai belia di Kelantan mula menceburi bidang itu berikutan kos permulaan yang rendah selain penjagaannya yang mudah.
“Hanya dengan modal sekitar RM50 hingga RM100, seseorang sudah boleh membeli sepasang induk. Proses penjagaannya juga lebih mudah berbanding ikan hiasan lain kerana tidak memerlukan sistem pam oksigen.
“Pengusaha hanya menggunakan air tiub atau air telaga,” katanya kepada Bernama pada Pesta Ikan Hiasan dan Akuakultur Negeri Kelantan 2026 di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, nilai komersial ikan laga ditentukan berdasarkan gred, warna serta kualiti sirip atau bentuk dan sirip (form and fin).
Katanya bagi pasaran biasa, ikan laga dijual pada harga serendah RM5 hingga RM10 seekor, namun bagi baka hibrid spesifikasi pertandingan atau comp spec seperti Multi-color dan AOC, harganya boleh mencecah RM600 hingga RM700 seekor.

“Ketika era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya pernah menjual seekor ikan laga yang menjuarai pertandingan pada harga RM1,500. Malah, ada penternak tempatan berjaya memperoleh pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 dalam tempoh satu malam menerusi jualan secara siaran langsung di media sosial,” katanya.
Beliau berkata permintaan tinggi terhadap industri itu turut mewujudkan peluang ekonomi sampingan yang unik apabila makanan hidup seperti jentik-jentik diperlukan bagi memastikan tumbesaran serta kualiti mutasi warna ikan laga.
“Pernah ada penduduk tempatan memperoleh pendapatan sehingga RM300 sehari hanya dengan mencari dan menjual jentik-jentik liar di longkang kepada penternak pada harga RM10 sebungkus,” katanya.

Muhammad Izzad Haikal berkata penghasilan ikan laga bertaraf juara memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.
Katanya proses grooming mengambil masa kira-kira empat bulan dengan penternak perlu merawat air menggunakan daun ketapang bagi meniru habitat paya gambut semula jadi selain menyediakan diet bergilir antara makanan pelet dan jentik-jentik.
“Selain itu, produktiviti haiwan ini juga tinggi apabila sepasang induk mampu menetaskan antara 100 hingga 300 ekor anak ikan dalam satu-satu masa,” katanya.
Di sebalik kejayaan pasaran domestik, beliau berkata penternak tempatan masih berdepan kesukaran untuk menembusi pasaran antarabangsa berbanding Thailand dan Indonesia.
“Di Malaysia, kepakaran pembiak baka kita sangat diiktiraf malah kita mempunyai lebih 260 jenis baka mutasi genetik yang didaftarkan. Namun, halangan utama ialah akta serta syarat kuarantin pergerakan haiwan hidup yang ketat.
“Berbanding Thailand, kerajaan mereka tidak mengenakan sekatan ketat sekali gus membolehkan penternak mengeksport secara terus ke pasaran global seperti Amerika Syarikat dan China.
“Kita berharap pihak berwajib dapat menyemak semula syarat itu agar selari dengan keperluan semasa sekali gus membolehkan kita bersaing secara sihat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Perikanan sentiasa membantu penternak dengan menyalurkan bantuan infrastruktur asas seperti rak dan bekas takungan ikan selepas permohonan dibuat.
Menurutnya, penganjuran pertandingan ikan laga berskala besar hampir setiap hujung minggu di seluruh negara membuktikan industri itu bukan sahaja mampu menjamin kelangsungan kerjaya usahawan digital, malah berpotensi meletakkan Malaysia di peta arena ikan hiasan antarabangsa. – Bernama