Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Dari rumah panjang ke pentas dunia: Annah Rais semarakkan Gawai
  • SEMASA

Dari rumah panjang ke pentas dunia: Annah Rais semarakkan Gawai

Utusan Sarawak 4 hours ago
SUASANA perarakan Gawai di Kampung Annah Rais.

PADAWAN: Dentuman gong yang bergema di seluruh rumah panjang di sini menjadi pembuka tirai sambutan Gawai Dayak yang berlangsung meriah menerusi kerjasama antara komuniti Kampung Annah Rais dan Coca-Cola, hari ini.

Pada sebelah petang, penduduk kampung serta pengunjung berhimpun bagi menyertai perarakan mengelilingi rumah panjang yang diketuai Ketua Kaum Kampung Annah Rais, Joda Mamung, sambil diiringi persembahan muzik tradisional dan pakaian kebudayaan masyarakat Bidayuh.

Suasana penuh kemeriahan itu bukan sahaja menggambarkan semangat perpaduan komuniti setempat, malah memperlihatkan bagaimana warisan budaya terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.

Bagi penduduk Annah Rais, Gawai Dayak bukan sekadar pesta tahunan, tetapi lambang kesyukuran, kejayaan dan identiti masyarakat yang telah bertapak di kawasan itu sejak ratusan tahun lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, beliau kagum melihat kerjasama erat antara penduduk kampung dan sektor korporat dalam menjayakan sambutan berkenaan.

Menurut beliau, Gawai  Dayak membawa makna yang lebih luas daripada sekadar meraikan musim menuai kerana ia turut melambangkan kejayaan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pendidikan, pekerjaan, perniagaan dan kekeluargaan.

“Apabila kita mencapai sesuatu kejayaan, kita bergawai. Itulah semangat yang dibawa oleh masyarakat kita sejak dahulu lagi.

“Sebab itu Gawai bukan hanya mengenai padi, tetapi mengenai kejayaan yang kita kecapi dalam kehidupan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

SUASANA perarakan Gawai di Kampung Annah Rais.

Jerip turut memuji usaha Coca-Cola yang memilih Annah Rais sebagai lokasi penganjuran sambutan kerana kampung berkenaan mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya.

Beliau berkata, Annah Rais yang terletak dalam kawasan Sarawak Delta Geopark mempunyai pelbagai aset semula jadi dan warisan yang boleh diketengahkan kepada dunia, termasuk rumah panjang tradisional, gua, air terjun serta budaya masyarakat Bidayuh yang masih dipelihara.

Sementara itu, Joda berkata sambutan Gawai tahun ini menjadi lebih bermakna apabila kampung berkenaan turut mencatat sejarah tersendiri sehari sebelumnya menerusi penciptaan rekod Malaysia Book of Records bagi konvoi Grab terpanjang.

Katanya, pencapaian tersebut membuktikan Annah Rais terus melangkah ke hadapan dalam mempromosikan sektor pelancongan kampung kepada pelawat dari dalam dan luar negara.

“Apabila bercakap mengenai pelancongan, orang akan bercakap mengenai Annah Rais. Kita bukan sekadar sebuah kampung, tetapi sebuah destinasi pelancongan yang mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan sektor pelancongan di Annah Rais bermula sekitar tahun 1990 dan terus berkembang sehingga menerima pengiktirafan Anugerah Pelancongan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) pada 2014 hasil usaha berterusan komuniti setempat.

Beliau berkata penganjuran program seperti itu memberi peluang kepada penduduk memperkenalkan budaya Bidayuh kepada khalayak yang lebih luas, termasuk melalui persembahan Mereg Mungas yang dipentaskan buat julung kalinya sempena sambutan tersebut.

Katanya, persembahan itu mempunyai makna mendalam kerana menggambarkan tradisi membawa pulang semangat padi sebagai simbol keberkatan, rezeki dan kesejahteraan kepada masyarakat.

“Selama ini ramai melihat Gawai sebagai pesta dan hiburan, tetapi di sebaliknya terdapat nilai budaya dan kepercayaan yang perlu terus dipelihara,” katanya.

Menjelang petang, suasana rumah panjang terus dipenuhi gelak tawa, tarian dan alunan muzik tradisional, mencerminkan semangat Gawai yang bukan sahaja menyatukan komuniti, malah menjadi medium memperkenalkan warisan Annah Rais kepada dunia.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Rumah panjang miliki kelebihan sebagai produk pelancongan komuniti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.