
KABONG: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar mencari daun palas di kawasan kebun kelapa Empayung, di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Majidi Jali, namun maklumat lanjut mengenai umur dan statusnya masih belum diperoleh.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.20 malam.
“Maklumat awal daripada pengadu memaklumkan mangsa keluar dari rumah pada waktu pagi untuk mencari daun palas, namun gagal pulang sehingga laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
“Ketika keluar, mangsa dilaporkan memakai baju tidak berlengan berwarna kelabu dan seluar panjang berwarna biru,” katanya dalan satu laporan hari ini.
Susulan laporan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok digerakkan ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut dan memulakan operasi pencarian.
Operasi diketuai oleh PBK I Mohamad Hafiz Adris dengan kekuatan dua anggota menggunakan kenderaan pacuan empat roda Hilux.
Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat masih di peringkat awal dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.