
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di tujuh negeri hingga 7.00 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan itu berlaku di seluruh negeri Perlis manakala Pahang melibatkan kawasan Cameron Highlands.
Keadaan sama turut melanda kawasan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda dan Sik di Kedah manakala di Perak melibatkan Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.
Di Terengganu, kawasan terlibat meliputi Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Sementara itu, di Sabah, amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat manakala di Sarawak melibatkan kawasan Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru dan Marudi) dan Limbang. – Bernama