
KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Sarawak mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) susulan kejadian sebuah bot laju yang terbalik berhampiran Pantai Teluk Pasir, Santubong, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching menerima panggilan kecemasan pada 3.45 petang daripada seorang pengadu yang memaklumkan sebuah bot laju membawa lapan individu telah terbalik di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika timur laut Pantai Teluk Pasir.

Menurut beliau, sebaik menerima laporan, aset ronda KILAT 22 segera diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terlibat.
Katanya, hasil tindakan pantas pasukan penyelamat, kesemua lapan mangsa berjaya ditemui pada 4.49 petang di lokasi yang dilaporkan.
Siasatan awal mendapati bot yang dinaiki mangsa dipercayai terbalik akibat keadaan laut yang bergelora, menyebabkan mereka terpaksa berenang ke kawasan daratan dan batu berhampiran untuk menyelamatkan diri.

“Kesemua mangsa berjaya bertahan sebelum ditemui dan diselamatkan oleh pasukan Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selepas operasi menyelamat selesai, semua mangsa dibawa ke Jeti KOMTAS untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.
Sebuah ambulans daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) serta sebuah ambulans dari Hospital Umum Sarawak (HUS) tiba di jeti pada 6.00 petang bagi menjalankan saringan kesihatan terhadap mangsa.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan stabil tanpa mengalami kecederaan serius.
Berikutan kejayaan menyelamatkan semua mangsa, Operasi Carilamat ditamatkan sepenuhnya pada 6.45 petang.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kecemasan di laut dan mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti di perairan.
Sebarang insiden kecemasan boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau terus kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak.
Oleh Adi Safarman