
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya empat orang maut manakala sembilan yang lain cedera selepas sebuah bangunan lima tingkat runtuh di kawasan Mehrauli, New Delhi pada Sabtu malam, lapor Xinhua.
Menurut pengesahan polis tempatan pada Ahad, seorang wanita merupakan antara mangsa yang terkorban. Mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di sebuah hospital tempatan.
Polis membuka kertas siasatan terhadap pemilik bangunan itu.
“Ia merupakan sebuah bangunan komersial lima tingkat yang menempatkan banyak pejabat dan sebuah pusat tuisyen. Banyak pejabat ditutup ketika kejadian berlaku memandangkan ia hujung minggu. Apabila bangunan itu runtuh, sisa runtuhan bangunan berkenaan menghempap sebuah bangunan berhampiran, menyebabkan ramai terperangkap di bawah timbunan runtuhan,” kata seorang pegawai Polis Delhi. – Bernama