Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Biodiesel B15 di Semenanjung bermula esok: Langkah strategik perkukuh keselamatan tenaga, sokong industri sawit
  • NASIONAL

Biodiesel B15 di Semenanjung bermula esok: Langkah strategik perkukuh keselamatan tenaga, sokong industri sawit

Utusan Sarawak 4 hours ago
BIODIESEL B15 dilaksana di Semenanjung Malaysia bermula esok.

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal melangkah ke satu lagi fasa penting dalam perjalanan peralihan tenaga di tengah-tengah krisis bekalan global, apabila kadar adunan biodiesel dinaikkan secara berperingkat daripada B10 kepada B15 di seluruh Semenanjung Malaysia bermula esok, 1 Jun.

Langkah Kerajaan MADANI susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global ini bukan sekadar usaha mengurangkan kebergantungan terhadap diesel fosil import, malah dilihat sebagai strategi serampang dua mata memperkukuh keselamatan tenaga negara sambil meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit tempatan.

Menerusi pelaksanaan ini, B15 akan mengandungi 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit atau Palm Methyl Ester (PME) dan 85 peratus diesel petroleum, berbanding campuran 10 peratus PME di bawah mandat B10 yang digunakan ketika ini tanpa perlu pengubahsuaian enjin bagi kebanyakan kenderaan diesel.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata kerajaan menyasarkan pengeluaran biodiesel secara berperingkat sebagai langkah permulaan sebelum kadar campuran ditingkatkan mengikut kesesuaian pasaran dan kemampuan industri.

Beliau berkata penggunaan bahan sampingan industri sawit termasuk enap cemar daripada pengeluaran minyak sawit mentah berpotensi dimanfaatkan bagi menghasilkan biodiesel dan bahan api penerbangan, sekali gus mewujudkan rantaian nilai baharu dalam sektor komoditi negara.

Ahmad Zahid turut melihat biodiesel sebagai pemangkin baharu kepada ekonomi luar bandar melalui penglibatan agensi pembangunan seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Kerajaan telah memberi jaminan bahawa pelaksanaan berkenaan dibuat secara terancang selepas mengambil kira kapasiti bekalan minyak sawit negara, kesiapsiagaan industri serta infrastruktur sedia ada.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata penggunaan minyak sawit bagi pelaksanaan B15 dianggarkan sekitar 0.8 juta tan metrik setahun, jauh lebih rendah berbanding lebihan bekalan domestik yang mencecah kira-kira empat juta tan metrik setahun.

Justeru, beliau berkata pelaksanaan itu tidak akan menjejaskan eksport minyak sawit negara yang kini mencecah kira-kira 16 juta tan metrik setahun.

Sementara itu, Ketua Kompleks Biorefineri UPM Prof Dr Hidayah Ariffin berkata penggunaan biodiesel yang lebih tinggi mampu memanjangkan tempoh simpanan stok diesel negara dan membantu memastikan kestabilan bekalan sekiranya konflik Asia Barat berpanjangan.

Kebimbangan mengenai kesesuaian penggunaan biodiesel dalam kenderaan turut cuba ditangani kerajaan, dengan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir memberi jaminan bahawa tiada isu berkaitan spesifikasi enjin memandangkan piawaian kenderaan di Malaysia telah mengambil kira penggunaan biodiesel sehingga B20 sejak 2020.

Malah, penggunaan B20 telah dilaksanakan di beberapa kawasan termasuk Langkawi, Labuan dan Sarawak tanpa laporan masalah besar yang boleh dijadikan rujukan terhadap dakwaan kerosakan enjin.

Program Biodiesel Negara bermula dengan B5 pada 2011 sebelum diperluaskan kepada B7 pada 2014 dan seterusnya B10 serta B20 secara berperingkat antara 2019 hingga 2020.

Kini, Malaysia mempunyai 19 loji biodiesel berlesen yang mampu menyokong pelaksanaan B15 serta perancangan jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kadar campuran kepada B20, B30 dan berpotensi sehingga B50 pada masa hadapan selari dengan agenda hijau negara.

Selain itu, penggunaan biodiesel yang dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui dijangka membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta menyokong komitmen Malaysia terhadap pembangunan rendah karbon dan peralihan tenaga yang lebih lestari. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Kanada berhasrat perluas hubungan dua hala, perdagangan dengan Malaysia
Next: Enam inisiatif MITRA mampu tingkat sosioekonomi masyarakat India – MAICCI

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.