Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kanada berhasrat perluas hubungan dua hala, perdagangan dengan Malaysia
  • NASIONAL

Kanada berhasrat perluas hubungan dua hala, perdagangan dengan Malaysia

Utusan Sarawak 6 hours ago
PESURUHJAYA Tinggi Kanada di Malaysia Jodi Robinson

KUALA LUMPUR: Kanada berhasrat memperluas hubungan dua hala dan perdagangan dengan Malaysia dalam sektor termasuk pertanian, kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta pertukaran pendidikan.

Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia Jodi Robinson berkata Kanada mempunyai pelbagai kelebihan untuk ditawarkan, khususnya dalam bidang teknologi dan mahu melihat syarikat-syarikat Kanada melabur di Malaysia serta menyokong rantaian bekalan tempatan.

“Kanada dan Malaysia telah menjalinkan hubungan baik sejak 1957 apabila Kanada mula mengiktiraf Malaya sebagai sebuah negara, dan itulah permulaan hubungan kedua-dua negara, walaupun ketika itu ia lebih tertumpu kepada aspek pertahanan.

“Dalam tempoh kira-kira 10 tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan peningkatan yang lebih ketara dari segi ekonomi, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam program The Nation Diplomatic Dispatch terbitan Bernama TV baru-baru ini.

Mengenai kerjasama tenaga, Robinson berkata kedua-dua negara telah memperkukuh kerjasama menerusi surat hasrat (LOI) yang ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN tahun lepas, meliputi pelaburan dalam gas asli cecair (LNG), minyak, tenaga nuklear dan tenaga boleh diperbaharui. Beliau berkata Petronas telah membuat pelaburan signifikan dalam projek gas asli cecair (LNG) di Kanada, selain menzahirkan harapan agar lebih banyak syarikat Kanada yang mempunyai kepakaran dalam teknologi pemuliharaan air memasuki pasaran Malaysia.

Robinson berkata Kanada juga boleh berkongsi kepakarannya dalam pengurusan tenaga nuklear secara selamat serta menyokong rantaian bekalan mineral kritikal yang stabil dan mampan bagi industri semikonduktor.

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata pembelian 150 pesawat Airbus A220-300 oleh AirAsia X yang dihasilkan di Mirabel, Kanada, baru-baru ini turut menyerlahkan peranan Kanada dalam industri aeroangkasa Malaysia, sekali gus menonjolkan kebolehpercayaannya sebagai sumber bekalan yang pelbagai dalam rantaian bekalan global.

“Malah dalam industri halal, terdapat banyak ruang untuk Malaysia mengeksport produk halal ke Kanada yang mempunyai populasi Muslim yang besar, khususnya bagi produk khusus seperti sos, makanan ringan atau hidangan, khususnya bagi produk khusus seperti sos, makanan ringan atau hidangan,” katanya sambil menambah bahawa Kanada mempunyai badan pensijilan halal tersendiri.

Robinson menggalakkan syarikat memanfaatkan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang kedua-dua negara merupakan anggotanya serta memberi tumpuan kepada produk yang mempunyai hayat simpanan lebih lama.

“Mengenai pelonggaran syarat perjalanan baru-baru ini bagi rakyat Malaysia yang layak, Robinson berkata langkah itu akan membantu meningkatkan jumlah pelancong Malaysia ke Kanada.

“Jika anda pernah memiliki visa Kanada dalam tempoh 10 tahun lalu atau mempunyai visa Amerika Syarikat (AS) yang masih sah, anda boleh memohon kebenaran perjalanan elektronik (eTA), dan proses itu hanya mengambil masa beberapa minit,” katanya.

Sempena genap dua tahun beliau berkhidmat di Malaysia, Robinson menyifatkan rakyat Malaysia sebagai suka menerima tetamu, selain memuji masyarakat majmuk dan kepelbagaian budaya negara ini.

“Ke mana sahaja anda pergi, rakyat Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelawat dan begitu mesra menerima tetamu. Sepanjang perjalanan saya di Malaysia, saya bertemu ramai individu yang mempunyai semangat yang kuat, selain dapat menyaksikan masyarakat majmuk, kepelbagaian budaya dan layanan mesra di seluruh negara,” katanya. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Tindakan perundangan jika sebar maklumat palsu terhadap kementerian, jabatan kerajaan 
Next: Biodiesel B15 di Semenanjung bermula esok: Langkah strategik perkukuh keselamatan tenaga, sokong industri sawit

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.