
LIMBANG: Sarawak berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai hab tenaga hijau apabila kerajaan negeri giat melaksanakan pelbagai projek tenaga boleh diperbaharui termasuk hidroelektrik, hidrogen dan solar.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata inisiatif tenaga hijau tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, malah menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan keupayaan teknologi tempatan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Ini merupakan komitmen kerajaan Sarawak untuk meneruskan pembangunan yang berteraskan teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan kebajikan rakyat.
“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada rakyat serta memacu pembangunan menyeluruh di negeri ini, termasuk di Limbang,” katanya ketika berucap pada Program Lawatan Pra Gawai anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Kota di Rumah Sidek, Kampung Bukit Impas, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata Daerah Limbang turut menerima beberapa projek strategik, termasuk pembangunan Tebingan Sungai Limbang, cadangan pemanjangan landasan Lapangan Terbang Limbang serta pelaksanaan projek jalan utama seperti Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) dan Lebuh Raya Trans Borneo bagi meningkatkan jaringan pengangkutan di kawasan utara Sarawak.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas juga terus diberi perhatian di Kampung Bukit Impas, termasuk pembinaan jalan ladang, kawasan parkir berbumbung dan kemudahan kampung yang lain.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa agar semangat sambutan Hari Gawai terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan dan perpaduan rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya dan kepercayaan.
Oleh Adeng Edrus