KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjur pulih pada tahun ini dengan pertumbuhan sekitar 5.2 peratus hingga 5.9 peratus, demikian menurut AmBank Research pada Isnin.
Dalam nota penyelidikannya, ia berkata, ini didorong oleh peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perdagangan global, langkah-langkah bantuan rangsangan, usaha membendung penularan Covid-19 serta pelaksanaan langkah vaksinasi.
Jumlah pelaburan secara keseluruhannya juga diunjur meningkat dengan prospek sama turut dialami sektor-sektor utama dalam ekonomi, katanya.
“Oleh itu, peningkatan perbelanjaan modal dijangka berlaku pada tahun ini. Bagaimanapun, pertumbuhan bagi 2021 akan dijejaskan oleh peningkatan kes Covid-19 serta pelaksanaan langkah kawalan pergerakan pada Januari,” katanya.
Menurut AmBank Research, impak yang dapat dilihat pada suku pertama 2021 bagaimanapun kurang ketara berbanding kesan pelaksanaan kawalan pergerakan pada April 2020.
“Namun, kami masih bimbangkan keadaan perniagaan mikro, kecil dan sederhana. Atas alasan itu, KDNK tahun penuh 2021 dijangka sekitar 5.2 peratus hingga 5.9 peratus.”
AmBank Research berkata seperti dijangkakan, KDNK susut pada suku keempat 2020 — prestasi lebih rendah pada suku sebelumnya akibat peningkatan kes Covid-19 dan langkah kawalan bagi membendung penularannya.
Penguncupan KDNK suku keempat 2020 pada 3.4 peratus bagi tahun ke tahun sememangnya dalam jangkaan firma penyelidikan berkenaan iaitu sekitar -3.2 peratus dan -3.5 peratus berikutan semakan semula -2.6 peratus tahun ke tahun bagi suku ketiga 2020.
“Berikutan pertumbuhan negatif bagi tiga suku berturut-turut dengan (angka) terbesar pada suku kedua 2020 pada -17.1 peratus tahun ke tahun, KDNK bagi tahun penuh susut 5.6 peratus yang merupakan peningkatan daripada unjuran kami pada -5.5 peratus,” katanya.
Ini merupakan penguncupan terbesar pernah dicatatkan berbanding -7.4 peratus sewaktu krisis kewangan Asia pada 1998.
Selain itu, penurunan nominal KDNK sebanyak 6.3 peratus itu juga disebabkan oleh impak deflasi.
- Bernama