Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Sistem MyIMMs pulih sepenuhnya, tiada unsur serangan siber – KDN
  • NASIONAL

Sistem MyIMMs pulih sepenuhnya, tiada unsur serangan siber – KDN

Utusan Sarawak 6 hours ago

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa gangguan sementara melibatkan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang menjejaskan urusan pemeriksaan dan pemprosesan di beberapa pintu masuk negara hari ini tidak membabitkan sebarang insiden keselamatan siber.

KDN dalam kenyataan memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah teknikal dalaman yang menjejaskan operasi sistem selama sekitar tiga jam 45 minit sebelum tindakan pemulihan segera dilaksanakan.

Menurut kementerian itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama pasukan teknikal berkaitan bertindak pantas sebaik insiden dikesan dan sistem berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 45 minit selepas kerja pemulihan dimulakan.

“KDN ingin menegaskan bahawa gangguan yang berlaku tidak melibatkan sebarang insiden keselamatan siber. Tiada kebocoran, kehilangan atau kerosakan data direkodkan dan semua maklumat yang disimpan dalam sistem kekal selamat serta terpelihara,” menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan kementerian menyedari sistem kritikal yang beroperasi secara berterusan serta mengendalikan jumlah transaksi tinggi memerlukan pemantauan dan penambahbaikan berterusan bagi memastikan kestabilan serta daya tahan sistem berada pada tahap optimum. 

“Pada masa sama, proses naik taraf sistem MyIMMs kepada Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan kapasiti, keupayaan serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna dan gangguan terhadap operasi sedia ada telah diambil kira,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KDN memaklumkan JIM sedang melaksanakan beberapa langkah pengukuhan termasuk meningkatkan kapasiti storan dan infrastruktur sistem, memperkukuh mekanisme pemantauan masa nyata, menambah baik pelan pemulihan gangguan serta mempercepat pelaksanaan projek naik taraf MyIMMs bagi meningkatkan ketahanan dan kebolehpercayaan sistem pada masa hadapan.

KDN turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna sepanjang tempoh gangguan itu dan menghargai kesabaran serta kerjasama yang diberikan. – Bernama 

Continue Reading

Previous: PM beri bayangan lebih banyak penjimatan dalam Belanjawan 2027
Next: JPN nasihat orang ramai tidak tergesa-gesa tukar MyKad

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.