
WASHINGTON, Amerika Syarikat: Seorang remaja dari California, Shrey Parikh, berjaya menjuarai pertandingan ejaan kebangsaan Amerika Syarikat pada Khamis selepas berjaya mengeja pelbagai perkataan sukar dengan penuh yakin dan tenang.
Sama ada berdepan dengan perkataan sukar seperti hwyl, potto atau pluchea, keyakinan remaja berusia 14 tahun dari Rancho Cucamonga itu tidak pernah goyah ketika beliau mengeja satu demi satu perkataan untuk merangkul kemenangan.
Kemenangan itu merupakan kali ketiga Parikh mara sebagai finalis dalam pertandingan Pertandingan Ejaan Kebangsaan Scripps apabila beliau menewaskan 247 peserta lain yang bersaing selama tiga hari di Constitution Hall, Washington.
Namun, di sebalik ketenangannya, Parikh mengakui beliau berasa gementar pada peringkat awal pertandingan.

“Saya mengetahui perkataan itu, tetapi apabila berada di atas pentas, kita sentiasa berasa ragu-ragu terhadap diri sendiri. Saya bersyukur kerana terus yakin dengan naluri sendiri dan berjaya mengejanya dengan betul,” katanya.
Pada tahun ini, pertandingan itu ditentukan menerusi pusingan spell-off, iaitu dua finalis dikehendaki mengeja sebanyak mungkin perkataan dalam tempoh 90 saat.
Parikh berjaya mengeja 32 perkataan dengan betul dalam tempoh yang diperuntukkan, sekali gus menewaskan Ishaan Gupta dari Jersey City yang hanya berjaya mengeja 25 perkataan.
Ketika ditanya sama ada beliau membuat persediaan khusus bagi menghadapi ujian kepantasan itu, Parikh berkata beliau sememangnya biasa mengeja dengan pantas setiap hari.
“Ejaan pantas memang rutin harian saya, jadi spell-off itu terasa semula jadi, seperti satu lagi hari biasa untuk mengeja,” katanya.
Selain membawa pulang trofi Scripps Cup yang dihiasi bunga dan lebah, pemenang turut menerima wang tunai AS$50,000 serta hadiah daripada Delta Air Lines, Encyclopaedia Britannica dan Merriam-Webster. Naib juara pula menerima hadiah wang tunai dan pakej hadiah dalam jumlah yang lebih kecil.
Menurut Pertandingan Ejaan Kebangsaan Scripps, kanak-kanak di seluruh Amerika Syarikat telah menyertai pertandingan ejaan dengan harapan untuk melayakkan diri ke peringkat kebangsaan sejak 1925. — AFP