
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri penurunan semalam untuk dibuka tinggi pada Jumaat, seiring dengan kenaikan semalaman di Wall Street apabila sentimen pelabur lebih baik susulan ketegangan geopolitik yang mereda antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 5.47 mata atau 0.33 peratus kepada 1,690.40 daripada 1,684.93 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 3.25 mata kepada 1,688.18.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 214 berbanding 141 manakala 268 kaunter tidak berubah, 2,019 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 163.28 juta saham bernilai RM148.67 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street meningkat berikutan laporan bahawa AS dan Iran bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata dan meneruskan rundingan mengenai program nuklear Iran.
Sehubungan itu, harga minyak mentah Brent menurun kepada AS$93 setong manakala hasil 10 tahun AS berkurangan kepada 4.453 peratus.
“Di pasaran tempatan, walaupun FBM KLCI terjejas oleh aktiviti jualan pada lewat sesi dagangan semalam, kami melihat penurunan itu sebagai peluang untuk membeli saham pada harga rendah.
“Kami menjangka indeks diniagakan dalam julat 1,680 hingga 1,700 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 12 sen kepada RM10.62, Public Bank dan CIMB, masing-masing meningkat satu sen kepada RM4.78 dan RM7.50, Tenaga Nasional kekal tidak berubah pada RM14.24 manakala IHH Healthcare menurun empat sen kepada RM8.95.
Bagi saham aktif, Nationgate, Salutica dan Systech, masing-masing menambah setengah sen kepada 76.5 sen, 13 sen dan 24 sen, SFP Tech naik 1.5 sen kepada 27.5 sen dan Inari Amertron menokok enam sen kepada RM2.41.
Kaunter paling untung termasuklah Nestle meningkat 52 sen kepada RM95.52, Kelington naik 38 sen kepada RM7.81, Petronas Dagangan menambah 26 sen kepada RM17.60, Fraser & Neave dan QL Resources, masing-masing menokok 20 sen kepada RM28.60 dan RM3.60.
Bagi kaunter paling rugi, KESM Industries menurun 25 sen kepada RM4.71, Allianz Malaysia berkurangan 18 sen kepada RM21.74, PPB merosot 12 sen kepada RM9.70, Harbour-Link menyusut 10 sen kepada RM1.30 dan YTL Power International menurun lapan sen kepada RM4.07.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 41.74 mata kepada 12,583.02, Indeks FBM Top 100 meningkat 43.21 mata kepada 12,423.69, Indeks FBM Emas Shariah menokok 41.76 mata kepada 12,592.67, Indeks FBM Mid 70 melonjak 76.49 mata kepada 18,290.18 dan Indeks FBM ACE naik 14.43 mata kepada 4,735.57.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.14 mata kepada 199.47, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 77.33 mata kepada 19,623.34 dan Indeks Perladangan menokok 13.33 mata kepada 8,518.28 manakala Indeks Tenaga menurun 2.01 mata kepada 780.89. – Bernama