
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat susulan berita mengenai kemungkinan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, yang dijangka memberi impak positif kepada mata wang tempatan, kata penganalisis.
Pada 8.00 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9755/9815 berbanding dolar AS daripada 3.9770/9805 semasa ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangka ringgit-dolar AS diniagakan dalam julat RM3.95 hingga RM3.97 hari ini.
“Berita mengenai gencatan senjata selama 60 hari antara AS dan Iran telah menyebabkan harga minyak mentah Brent menurun 1.04 peratus kepada AS$93.31 setong. Berita (mengenai gencatan senjata itu) masih belum disahkan tetapi pasaran telah memberi reaksi positif.
“Ini menunjukkan komuniti pelabur telah hilang keyakinan terhadap corak rundingan yang tidak stabil itu,” katanya kepada Bernama.
Pada masa yang sama, kadar inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS meningkat kepada 3.8 peratus pada April daripada 3.5 peratus pada bulan sebelumnya, menunjukkan bahawa harga minyak yang lebih tinggi telah menjejaskan kuasa beli rakyat AS.
Sementara itu, tuntutan awal faedah pengangguran turut naik kepada 215,000 minggu lepas berbanding 210,000 sebelum ini. Ia telah berada pada aliran meningkat sejak 30 April.
Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.21 peratus kepada 98.997 mata.
Dalam negara, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia menurun berbanding pound kepada 5.3447/3527 daripada 5.3272/3319 semasa ditutup pada Khamis, merosot berbanding euro kepada 4.6323/6392 daripada 4.6181/6222 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.4961/5000 daripada 2.4947/4970 semalam.
Mata wang tempatan menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1151/1201 daripada 3.1085/1115 semasa ditutup pada Khamis dan menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.2083/2338 daripada 12.1613/1773 sebelum ini.
Ringgit berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 222.7/223.2 daripada 222.8/223.1 sebelum ini dan mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.45/6.46. – Bernama