
DHAKA, Bangladesh: Seekor kerbau di Bangladesh yang digelar ‘Donald Trump’ kerana memiliki rambut perang berjuntai terselamat daripada dikorbankan selepas menjadi sensasi media sosial, dan kini akan dipelihara di zoo negara itu.
Bangladesh yang majoriti penduduknya beragama Islam serta mempunyai kira-kira 170 juta penduduk menyambut Aidiladha.
Kerbau jantan seberat 700 kilogram itu merupakan kerbau albino yang jarang ditemui, dengan rambut cerah berjuntai menyerupai gaya rambut ikonik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Haiwan tersebut pada asalnya dijadualkan untuk dikorbankan sempena sambutan Aidiladha.
Namun, beberapa jam sebelum disembelih, kerajaan campur tangan untuk menyelamatkan haiwan itu selepas ia menjadi sensasi dalam media sosial.

Kurator Zoo Negara Bangladesh, Atiqur Rahman berkata haiwan tersebut akan dipelihara dengan baik.
“Kami telah menyediakan kandang khas untuk kerbau albino itu serta menugaskan seorang penjaga,” katanya kepada AFP pada Rabu.
“Kerbau itu juga akan dikuarantin selama dua minggu,” tambahnya.
Orang ramai di Bangladesh berpusu-pusu datang untuk merakam gambar bersama haiwan yang menjadi bintang media sosial itu.
Bekas pemilik kerbau tersebut, Zia Uddin Mridha, 38, berkata adiknya menamakan kerbau itu “Trump” kerana “rambutnya yang luar biasa”.
Menurutnya, pengunjung yang terdiri daripada peminat media sosial, orang awam dan kanak-kanak sentiasa datang untuk melihat haiwan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau telah menjual kerbau itu menjelang Aidiladha.
Namun demikian, polis bertindak selepas kerajaan mengarahkan supaya kerbau tersebut tidak dikorbankan.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar meminta kami mengambil kerbau itu daripada pemilik kerana ia merupakan haiwan yang jarang ditemui,” kata Ketua Polis Balai Keraniganj, Dhaka, Mohammad Ruhul Quddus kepada AFP.
“Mereka memaklumkan bahawa kerbau albino itu masih muda dan boleh dipelihara untuk beberapa tahun lagi,” katanya.
Lebih 12 juta ternakan termasuk kambing, biri-biri, lembu dan kerbau dijangka dikorbankan sepanjang sambutan Aidiladha, ketika ramai keluarga miskin berpeluang menikmati hidangan daging yang jarang dinikmati. – AFP