
KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini suaranya sering mengiringi kisah cinta dan kehilangan, kali ini penyanyi popular Ernie Zakri membawa pendengar meneroka sisi berbeza menerusi single terbaharunya Tak Berlagu yang juga lagu tema filem seram Khadam.
Lagu ciptaan Rendra Zawawi dan Njwa itu menyaksikan penyanyi berusia 34 tahun berkenaan keluar dari zon selesa apabila perlu menghidupkan elemen seram menerusi vokalnya, sesuatu yang jarang diterokai beliau sepanjang lebih sedekad bergelar anak seni.
Ernie berkata cabaran utama ketika merakamkan lagu itu adalah menyeimbangkan elemen kesedihan yang menjadi teras karya berkenaan dengan suasana seram yang diperlukan bagi melengkapkan jalan cerita filem tersebut.
“Kalau ikutkan, cerita lagu ini yang saya bayangkan adalah kesedihan, tetapi ia dicipta sebagai lagu (tema) bagi cerita hantu. Jadi, saya kena letakkan sedikit ‘kehantuan’ (perasaan seram) dalam lagu ini… itu yang saya cuba sehabis baik.
“… harapnya (rasa seram itu) sampai kepada semua yang mendengar nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran lagu dan muzik video Tak Berlagu di sini, semalam.

Bagi memastikan penyampaiannya lebih tepat dengan naratif filem berkenaan, Ernie berkata beliau terlebih dahulu menonton karya tersebut sebelum memasuki studio rakaman, selain mengaitkan watak Melor dengan pengalaman peribadinya sebagai seorang ibu.
“Pada awalnya, saya tidak faham lagu ini tentang apa (tetapi) selepas menonton filem itu barulah saya boleh kaitkan dengan kehidupan saya sebagai seorang ibu. Dalam video muzik itu, emosi yang kalian lihat adalah emosi yang saya bawakan sebagai seorang ibu,” katanya.
Pelantun lagu Masing-Masing itu berkata proses memahami keseluruhan konsep dan perjalanan cerita filem Khadam mengambil masa antara satu hingga dua bulan kerana beliau enggan mengambil mudah tanggungjawab sebagai penyanyi lagu tema rasmi filem tersebut.
Dalam masa yang sama, Ernie turut melalui pengalaman baharu apabila mempelajari bahasa isyarat bagi menghayati watak Melor yang bisu, sekali gus membantunya menghidupkan karakter itu dengan lebih berkesan.
Ditanya reaksi netizen di media sosial, isteri kepada penyanyi Syamel itu mengakui karya berkenaan mungkin memerlukan masa untuk diterima kerana pendekatan yang diketengahkan berbeza daripada lagu-lagu pop yang sering dibawakannya sebelum ini.
“Saya yakin, kadang-kadang ada lagu yang mungkin orang agak lambat sikit nak terima, kadang-kadang benda sebegini (kelainan) yang melekat dalam hati.
“Bagi saya tak adil juga untuk kita hakimi lagu tanpa tengok filem tersebut. Kalia kena tengok, mungkin baru kalian dapat rasa apa yang saya rasa,” katanya sambil menyifatkan setiap kritikan yang diterima sebagai tanda keprihatinan peminat terhadap perjalanan seninya serta rujukan penting untuk penambahbaikan karya-karya akan datang. – Bernama