
MINA: Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi (NCM) menggesa jemaah haji mematuhi garis panduan pencegahan khususnya pada waktu tengah hari antara 11.00 pagi hingga 3.00 petang bagi mengurangkan kesan cuaca panas di tanah suci, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Jurucakap rasmi NCM Hussein Mohammed Al-Qahtani berkata, keadaan cuaca dan suhu dipantau secara berterusan menerusi stesen pemantauan milik pusat itu yang ditempatkan di seluruh kawasan tanah suci.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan menyediakan data meteorologi yang tepat kepada pihak berkuasa berkaitan serta membantu proses membuat keputusan sekali gus meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan jemaah haji. – Bernama