Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Cubaan seludup 12 migran di sempadan Lubok Antu gagal, dua ‘tekong darat’ ditahan
  • Selatan
  • WILAYAH

Cubaan seludup 12 migran di sempadan Lubok Antu gagal, dua ‘tekong darat’ ditahan

Utusan Sarawak 4 hours ago
TINDAKAN pantas pihak berkuasa berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 12 warga asing termasuk dua kanak-kanak dalam satu operasi khas di kawasan sempadan Lubok Antu, Sarawak-Badau, Kalimantan Barat awal pagi semalam. Foto: IPD Lubok Antu.

LUBOK ANTU: Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 12 warga asing termasuk dua kanak-kanak dalam satu operasi khas di kawasan sempadan Lubok Antu, Sarawak-Badau, Kalimantan Barat awal pagi semalam.

Dalam operasi sekitar 3.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun bersama 12 warga asing ditahan oleh Pasukan Risik dan Task Force Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu ketika menjalankan OP Taring/Batas di kawasan Ensawang, Lubok Antu.

Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, tangkapan dibuat selepas pasukan polis mengekori dua buah kenderaan mencurigakan yang dipercayai menuju ke laluan tidak diwartakan atau dikenali sebagai ‘jalan tikus’ di kawasan sempadan negara.

Hasil pemeriksaan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki tempatan manakala sebuah lagi kenderaan jenis salon dipandu seorang warga asing. 

Pemeriksaan lanjut menemukan 12 warga asing berada di dalam kenderaan berkenaan tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Polis turut merampas dua buah kenderaan bersama kunci, sebuah enjin bot sangkut serta dua unit telefon bimbit milik kedua-dua pemandu yang dipercayai bertindak sebagai ‘tekong darat’ dalam kegiatan penyeludupan migran tersebut.

Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutama di kawasan perbatasan negara.

Beliau menegaskan bahawa IPD Lubok Antu bersama Kompeni Taktikal PGA Batalion 10 Sibu akan terus memperketat kawalan sempadan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Sambutan Hari Keputeraan Agong Peringkat Sarawak di Betong 11 hingga 14 Jun depan
Next: Lelaki positif dadah ditahan bersama syabu di Kampung Menalang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.