
MIRI: Statistik kemalangan maut di daerah ini bagi tempoh Januari hingga April tahun ini menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila jumlah kematian akibat nahas jalan raya meningkat lebih 30 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata sebanyak 20 kematian direkodkan sepanjang empat bulan pertama tahun ini berbanding 15 kematian dalam tempoh sama pada 2025.
Menurutnya, jumlah kes kemalangan maut turut meningkat daripada 14 kes kepada 19 kes dalam tempoh berkenaan.
“Situasi ini amat membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak terutama pengguna jalan raya sendiri.
“Kebanyakan kemalangan sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pengguna jalan raya lebih berdisiplin dan sentiasa berhati-hati ketika memandu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Gawai Peringkat Bahagian Miri 2026 di sebuah stesen minyak di Permyjaya, hari ini.
Menurut Lee, sebanyak 1,165 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Miri bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, meningkat berbanding 1,120 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, kemalangan melibatkan kerosakan harta benda turut meningkat daripada 1,091 kes kepada 1,134 kes, manakala kemalangan ringan menurun daripada 13 kepada 10 kes, dan kemalangan serius kekal dua kes.
Beliau berkata beberapa lokasi hotspot kemalangan dikenal pasti termasuk Jalan Miri By-Pass, Jalan Kuala Baram By-Pass, Jalan Persisiran Pantai, Lebuh Raya Pan Borneo serta Jalan Miri-Airport.
“Antara kawasan ‘blackspot’ yang sering melibatkan kemalangan serius dan maut ialah Jalan Beraya di sepanjang Jalan Persisiran Pantai, beberapa bahagian Lebuh Raya Pan Borneo di Suai, serta laluan Jalan Miri By-Pass dari Emart Riam menuju ke lampu isyarat Jalan Tanjung Batu,” katanya.
Dalam pada itu, Lee mengingatkan orang ramai supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk sepanjang sambutan Hari Gawai.
Katanya, masyarakat Dayak sendiri sering menggunakan ungkapan “udah mabuk tinduk” yang membawa maksud jika sudah mabuk, lebih baik tidur dan berehat daripada memandu.
“Jangan kerana satu keputusan salah, ia boleh membawa kepada kemalangan dan tragedi yang meragut nyawa,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling