
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia rendah sewaktu dagangan dibuka pada Isnin, diasak sentimen pelabur yang berhati-hati serta minat belian suram walaupun prestasi semalaman Wall Street meningkat.
Pada 9.16 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia susut 1.60 mata atau 0.09 peratus kepada 1,711.07 daripada paras penutup 1,712.67 pada Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.24 mata kepada 1,711.43.
Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 276 berbanding 213 manakala 375 tidak berubah, 1,834 tidak diniagakan dan 59 kaunter digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 368.76 juta saham bernilai RM192.18 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup kukuh pada sesi sebelumnya selepas mendapat sokongan daripada hasil bon yang semakin stabil.
Beliau berkata hasil bon 10 tahun Amerika Syarikat (AS) kekal stabil pada 4.558 peratus
“Di peringkat domestik pada penutupan sesi dagangan sebelum ini, FBM KLCI meningkat lebih 1,710, disokong aktiviti pembelian saham berharga rendah secara terpilih selepas beberapa hari menyaksikan pembetulan teknikal.
“Walaupun beberapa laporan prestasi kewangan membabitkan pendapatan korporat yang agak baik, sentimen keseluruhan masih berhati-hati. Kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,700 hingga 1,720 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM11.02, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.78, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM14.42 dan RM8.96 manakala CIMB Group susut satu sen kepada RM7.74.
Bagi saham aktif, Hong Seng Consolidated dan Velesto Energy masing-masing susut setengah sen kepada 31 sen, EI Power Technologies naik satu sen kepada 63.5 sen, SFP Tech Holdings menokok dua sen kepada 23.5 sen dan AirAsia X meraih lima sen kepada RM1.17.
Kaunter paling untung didahului Petronas Dagangan yang meningkat 38 sen kepada RM18.22, LPI Capital Bhd menokok 20 sen kepada RM15.46, Mi Technovation meraih 15 sen kepada RM4.35, Petronas Gas meningkat 14 sen kepada RM17.14 dan Malayan Cement meraih 11 sen kepada RM6.97.
Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan Malaysian Pacific Industries susut 30 sen kepada RM48.20, Ajinomoto Malaysia rugi 28 sen kepada RM12.80, Petronas Chemicals turun 22 sen kepada RM5.48, V.S. Industry merosot 11 sen kepada RM6.81 manakala KLCC Property Holdings dan REIT berkaitan turun sembilan sen kepada RM9.01.
Di papan indeks pula, Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas turun 13.22 mata kepada 12,693.01, Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100 susut 16.21 mata kepada 12,530.55, Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas Shariah merosot 25.48 mata kepada 12,618.69, Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 berkurangan 43.01 mata kepada 18,255.29 manakala Indeks FTSE Bursa Malaysia ACE meningkat 6.36 mata kepada 4,732.33.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 22.78 mata kepada 20,019.88 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.35 mata kepada 199.28, Indeks Tenaga turun 3.70 mata kepada 788.85 dan Indeks Perladangan berkurangan 11.49 mata kepada 8,572.78.- Bernama