Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Malaysia Airlines catat penyerahan pesawat Boeing ke-200 dengan ketibaan terbaharu 737-8
  • NASIONAL

Malaysia Airlines catat penyerahan pesawat Boeing ke-200 dengan ketibaan terbaharu 737-8

Utusan Sarawak 6 hours ago
MALAYSIA Airlines menerima pesawat Boeing 737-8 keempat tahun ini, sekali gus menandakan pesawat Boeing ke-200 rangakaian Malaysia Airlines. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menyambut baik ketibaan pesawat Boeing 737-8 yang keempat pada tahun ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Kapten Nasaruddin A Bakar.

Beliau berkata penyerahan ini membawa makna yang amat ketara kerana ia turut menandakan pesawat Boeing ke-200 menyertai rangkaian pesawat Malaysia Airlines sejak 1972.

“Lebih daripada sekadar pertambahan kepada rangkaian pesawat kami, pencapaian bersejarah ini mencerminkan sejarah operasi sejak sekian lama yang menyokong pertumbuhan kapasiti dan evolusi armada kami selama beberapa dekad seiring dengan usaha meneruskan misi untuk menghubungkan Malaysia dengan dunia.

“Pengenalan pesawat generasi baharu ini akan terus memperkukuh keupayaan kami untuk menyokong peluang pertumbuhan masa depan dan memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berkembang, sambil terus memberikan pengalaman perjalanan yang lebih moden dan selesa kepada para pelanggan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

MAG memaklumkan sejarah rangkaian pesawat Malaysia Airlines mencerminkan tempoh perkembangan berskala besar dan bercita-cita tinggi.

Ini termasuk operasi pesawat badan lebar seperti Boeing 747 dan Boeing 777 yang menonjolkan keupayaan penerbangan jarak jauh serta hubungan global syarikat penerbangan itu sepanjang fasa-fasa penting pertumbuhannya.

Bersama-sama dengan evolusi keluarga Boeing 737, pesawat-pesawat ini mencerminkan bagaimana syarikat penerbangan ini sentiasa menyesuaikan diri, memodenkan dan memperluas jangkauannya selama beberapa dekad.

Pesawat terbaharu itu yang membawa nombor pendaftaran 9M-MVR telah berlepas dari Pusat Penyerahan Boeing di Seattle, Amerika Syarikat pada 21 Mei, 2026 pada 2.00 petang waktu tempatan dan membuat hentian mengisi minyak di Honolulu serta Guam sebelum meneruskan perjalanannya ke Malaysia.

Dikendalikan sebagai penerbangan MH5045, pesawat tersebut diterbangkan oleh Kapten Arian Syazwara Adenan, Kapten Mohd Aidilputra Abd Razak dan Pegawai Kanan Pertama Ahmad Asnawi Ahmad Rahman.

Ia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini pada 1.30 tengah hari selepas tempoh keseluruhan penerbangan selama 19 jam 44 minit.

“Penambahan terbaharu ini mencerminkan tumpuan berterusan MAG terhadap pemodenan rangkaian pesawat selaras dengan usaha memperkukuh kesalinghubungan rangkaian, meningkatkan kecekapan dan menambah baik pengalaman perjalanan di seluruh rangkaiannya.

“Boeing 737-8 memainkan peranan penting dalam menyokong operasi pesawat berbadan sempit kumpulan ini dengan kecekapan bahan api yang lebih tinggi, kebolehpercayaan yang lebih baik serta keselesaan penumpang yang dipertingkatkan,” menurut kumpulan itu.

Sehingga kini, MAG menerima penyerahan 18 buah pesawat Boeing 737-8 daripada keseluruhan tempahan sebanyak 55 buah pesawat berbadan sempit Boeing yang merangkumi 43 buah Boeing 737-8 dan 12 buah Boeing 737-10 dengan penyerahan dijadualkan berterusan sehingga 2030. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: MCMC minta platform media sosial turunkan lebih 271,000 kandungan berkaitan penipuan dan judi – Fahmi
Next: Rakyat Malaysia disahkan maut dalam insiden bangunan runtuh di Filipina

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.