
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) masih menunggu maklumat lengkap berhubung kes guru didakwa jalin hubungan dengan murid 12 tahun di Johor sebelum tindakan lanjut dapat diambil.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihak pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mendapatkan kerjasama keluarga serta pihak berkaitan bagi memperoleh keterangan tepat mengenai kes tersebut.
“Setakat ini perkongsian maklumat masih terhad kerana keluarga mahu melindungi identiti kanak-kanak terbabit daripada diaibkan memandangkan mangsa kini masih bersekolah.
“Walau apa pun, kami perlu mengambil tindakan dengan mendapatkan keterangan daripada mana-mana pihak yang boleh membantu siasatan.
“Ini kerana kami merupakan pihak yang akan menyediakan laporan diperlukan mahkamah. Sebab itu, setakat ini maklumat yang tepat masih belum diperoleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, hari ini.
Terdahulu, isu berkenaan menjadi perhatian selepas tular dakwaan seorang guru di Johor didakwa mempunyai hubungan tidak wajar dengan bekas muridnya ketika mangsa masih berada di sekolah rendah.
Kes itu kemudiannya mencetuskan kebimbangan masyarakat selepas timbul dakwaan berlaku cubaan menyelesaikan isu berkenaan secara tertutup termasuk dakwaan suspek berjanji untuk mengahwini mangsa apabila mencapai usia 18 tahun.
Susulan itu, pihak polis dilaporkan membuka siasatan manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan menggantung tugas guru terbabit sementara siasatan dijalankan.
Mengulas mengenai pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), Nancy berkata kementeriannya menyokong penuh usaha berkenaan kerana ia penting dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman buli siber, eksploitasi seksual serta penyantunan dalam talian.
“Pendedahan berkaitan keselamatan digital perlu diperluaskan kerana masih ramai kanak-kanak tidak memahami bahawa tindakan tertentu di media sosial sebenarnya termasuk dalam kategori buli siber.
“Saya ada melihat perkongsian di media sosial oleh pihak polis mengenai apa itu buli dan bagaimana sesuatu perkataan atau tindakan boleh dianggap sebagai buli.
“Perkara seperti ini perlu diketahui oleh anak-anak supaya mereka sedar dan tidak memendam perasaan sehingga menjadi tekanan apabila pulang ke rumah,” jelasnya.
Beliau berkata, matlamat utama kerajaan adalah memastikan setiap kanak-kanak dapat menerokai dunia digital dengan selamat, yakin dan sejahtera.
“Perlindungan kanak-kanak di ruang digital bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama komuniti termasuk ibu bapa serta penyedia platform digital.
“Kita selalu mengatakan pendekatan komuniti juga penting untuk memastikan persekitaran dalam talian lebih selamat dan kondusif.
“Program komuniti juga boleh dijadikan medium memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai ancaman dalam talian termasuk kegiatan penipuan atau scammer,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah