
KANOWIT: Kanowit menjadi lokasi pertama penganjuran Kenduri Rakyat MADANI tahun ini sempena sambutan Pra-Gawai dalam usaha memperkukuh perpaduan dan mendekatkan pemimpin dengan rakyat.
Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, program tersebut dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara sebagai platform meraikan kepelbagaian budaya serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Hari ini kita berada di Pejabat Daerah Kanowit untuk bersama rakyat yang meraikan Hari Gawai.
“Di kementerian, kita telah ditugaskan untuk mengadakan Pra-Gawai Kenduri Rakyat MADANI dan ini adalah usaha kerajaan untuk mendekati pemimpin bersama rakyat di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Pejabat Daerah Kanowit, hari ini.

Menurut beliau, kementeriannya ditugaskan untuk menganjurkan tiga siri Kenduri Rakyat MADANI sepanjang tahun ini dengan program seterusnya dijadual berlangsung di Serian sempena Hari Malaysia dan di Sungai Buloh, Selangor bersempena sambutan Deepavali.
Katanya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan hubungan antara kerajaan dan rakyat terus diperkukuh melalui program berteraskan komuniti dan perpaduan.
Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program berkenaan termasuk Townhall Keselamatan Komuniti bersama PEMADAM, reruai pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), slot interaktif kenegaraan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta pendedahan mengenai fungsi dan kemudahan Pusat NADI.
Selain itu, Bakul Rahmah MADANI turut diserahkan kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Kanowit bagi membantu persediaan mereka menyambut Hari Gawai.
Oleh Tarani Lanting