Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Upacara Miring dicadang diiktiraf warisan kebangsaan, ke UNESCO
  • TEMPATAN

Upacara Miring dicadang diiktiraf warisan kebangsaan, ke UNESCO

Utusan Sarawak 7 hours ago
KUKUHKAN PERPADUAN….Aaron pada Majlis Malam Matar Gawai Dayak Sibu 2026 bertemakan ‘Beserakup Nuju Pemansang’ di salah sebuah hotel terkemuka, di Sibu malam tadi.

SIBU: Upacara Miring yang menjadi ritual tradisi masyarakat Dayak dicadang diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara kebangsaan sebelum diketengahkan ke peringkat UNESCO.

Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, upacara tersebut mempunyai nilai budaya, sejarah dan spiritual yang tinggi selain melambangkan kesyukuran, penghormatan kepada alam serta permohonan kesejahteraan dalam masyarakat Dayak.

“Justeru, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara perlu mewartakan upacara ini sebagai Warisan Kebangsaan terlebih dahulu agar ia dapat didokumentasikan, dipelihara dan dipromosikan secara lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Matar Gawai Dayak Sibu 2026 bertemakan ‘Beserakup Nuju Pemansang’ di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.

PERSEMBAHAN….Tarian ngajat pada Majlis Malam Matar Gawai Dayak Sibu 2026, malam tadi.

Menurut Aaron, sambutan Hari Gawai Dayak yang diraikan pada 1 Jun setiap tahun bukan sahaja simbol kesyukuran dan penghormatan kepada leluhur, malah turut mencerminkan perpaduan serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Katanya, perayaan itu diraikan bukan sahaja oleh masyarakat Dayak seperti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, malah turut disambut bersama masyarakat Melayu, Cina serta kaum lain melalui rumah terbuka, kunjung-mengunjungi dan pelbagai aktiviti kebudayaan.

“Inilah gambaran sebenar wajah Sarawak yang harmoni, di mana kepelbagaian bukan menjadi penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan kita semua,” katanya.

Beliau berkata, seiring aspirasi Malaysia MADANI, Kementerian Perpaduan Negara kekal komited memperkukuh perpaduan nasional, memelihara keharmonian antara kaum serta memperkasa integrasi masyarakat.

Katanya, perayaan seperti Gawai Dayak menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan rakyat selain membuka ruang untuk saling memahami, menghormati dan membina kepercayaan antara satu sama lain.

“Kitai enda tauk pecah belah, kitai mesti terus segulai sejalai. Hanya dengan perpaduan yang kukuh, negara kita akan terus aman dan harmoni,” katanya.

Aaron berkata, warisan budaya dan adat tradisi masyarakat Dayak perlu terus dipelihara sebagai khazanah negara yang tidak ternilai.

Menurutnya, berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645], warisan tidak ketara merangkumi amalan, ekspresi, pengetahuan dan budaya masyarakat yang mempunyai nilai sejarah, estetika dan identiti kepada negara.

“Jabatan Warisan Negara kini memperkukuh usaha pemuliharaan warisan tidak ketara menerusi empat cabang utama iaitu adat dan budaya, seni persembahan, bahasa dan persuratan serta seni halus dan kraf,” ujarnya.

Aaron turut mengingatkan bahawa usaha memartabatkan budaya Dayak telah menunjukkan kejayaan apabila tarian Ngajat diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada 2007.

Beliau berkata, semua pihak perlu memastikan adat, tradisi dan budaya warisan masyarakat pelbagai kaum tidak hilang ditelan arus pemodenan kerana ia bukan sahaja mencerminkan jati diri sesuatu kaum, malah menjadi asas penting kepada perpaduan negara.

Turut hadir ialah Penasihat Malam Mantar Gawai Dayak Sibu 2026 yang juga Naib Presiden Kanan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dan Pengerusi SDNU Sibu, Chambai Lindong, Pengerusi Malam Mantar Gawai Dayak Sibu 2026 yang juga Pengerusi Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu, Angelyn Uchi Maseng, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting wakil Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Jenny Ting wakil Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang serta yang lain.

Oleh Akun Giman

Continue Reading

Previous: Sarawak sedia bantu realisasi projek Kereta Api Trans-Borneo – Abang Johari
Next: Uggah puji Hun Nam Siang Tng santuni 90 keluarga Dayak menjelang Gawai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.