Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Obesiti & kerintangan insulin: “Bom jangka” masalah kesihatan
  • KESIHATAN

Obesiti & kerintangan insulin: “Bom jangka” masalah kesihatan

Utusan Sarawak 4 hours ago
PAKAR Perunding Kanan Perubatan dan Endokrinologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Norlaila Mustafa

KUALA LUMPUR: Di sebalik trend masyarakat hari ini yang semakin terbuka terhadap kepelbagaian bentuk tubuh atau “body positivity”, pakar perubatan mengingatkan berat badan berlebihan bukan sekadar isu penampilan, tetapi satu bentuk “bom jangka” bagi masalah rintangan insulin.

Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Endokrinologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Norlaila Mustafa berkata penghidap obesiti berisiko tinggi mengalami keadaan itu apabila sel badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin

Beliau berkata insulin diibaratkan sebagai “kunci” yang membuka “pintu” sel untuk membenarkan gula masuk ke dalam badan dan menghasilkan tenaga. Namun dalam keadaan rintangan insulin, kunci itu tidak lagi berfungsi dengan berkesan.

“Hampir 100 peratus orang yang hidap obesiti mengalami rintangan insulin, namun bukan bermakna pesakit itu ada diabetes. Sebaliknya, rintangan insulin adalah peringkat awal seseorang mendapat diabetes jika tidak dikawal. 

“Rintangan insulin tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi terbina secara perlahan-lahan akibat faktor gaya hidup seperti pemakanan tidak seimbang, kurang aktiviti fizikal dan peningkatan berat badan,” katanya ketika ditemui Bernama di HCTM baru-baru ini.

Dr Norlaila yang juga pensyarah di Unit Endokrinologi Jabatan Perubatan HCTM, berkata faktor emosi seperti tekanan perasaan atau stres dan gangguan waktu tidur turut menjadi penyumbang senyap kepada rintangan insulin.

Katanya stres meningkatkan hormon kortisol yang mengganggu metabolisme badan, manakala kekurangan tidur pula merangsang kenaikan berat badan.

“Lebih merisaukan, rintangan insulin turut menjadi pencetus komplikasi lain seperti penyakit jantung dan tekanan darah tinggi jika tidak dikawal,” katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan antara negara dengan kadar obesiti dan diabetes tertinggi di Asia Tenggara, dan dewasa ini masalah itu turut dikesan dalam kalangan golongan muda, selain individu dengan berat badan normal atau kurus juga berisiko mengalami masalah itu atas pelbagai faktor termasuk genetik.

“Makanan berproses seperti nuget yang kerap diambil antara penyumbang kepada permasalahan ini kerana makanan diproses mengandungi lemak yang tinggi, dan sel lemak itu pula menghasilkan hormon yang menyebabkan kerintangan insulin,” katanya.

Menyentuh tanda-tanda awal, Dr Norlaila berkata rintangan insulin sukar dikesan kerana lazimnya tidak menunjukkan simptom jelas yang menyakitkan.

Bagaimanapun, beliau berkongsi satu petanda fizikal yang sering disalah anggap oleh masyarakat, iaitu kesan kehitaman di bahagian leher, siku, buku jari atau celah lipatan badan yang dikenali sebagai acanthosis nigricans.

“Ramai sangka itu daki atau kulit kotor, tetapi sebenarnya ia antara tanda kerintangan insulin. Biasanya kita nampak pada individu yang mempunyai berat badan berlebihan,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau menekankan kepentingan kembali ke asas gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal mudah seperti berjalan pantas sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

“Apapun kita kena amalkan hidup sihat dengan melakukan senaman dan menjaga pemakanan. Tak semestinya kena makan sayur sahaja. Cuba kurangkan pengambilan makanan tinggi gula, garam serta makanan diproses,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Saringan kesihatan MBKS perkukuh budaya kerja sihat dan produktif

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.