
KUALA KANGSAR: Sebuah syarikat produk makanan berasaskan kacang didenda RM21,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan logo halal tidak sah pada produk keluarannya, tahun lepas.
Hakim Nuur Hafiedzah Md Daud menjatuhkan hukuman itu terhadap Mee Hiong Yuen Groundnut Factory Sdn Bhd selepas pengarahnya Wong Hoong Kit, 64, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan 661unit produk ‘Kacang Menglembu Cap Pemancing’ dalam pelbagai saiz bungkusan dan tin yang disita, membabitkan sekitar 211.6 kilogram (kg), dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia untuk tujuan pelupusan.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa memperihalkan barangan berkenaan sebagai halal dengan cara yang bertentangan di bawah Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di premis kilang di Jalan Besar, Sungai Siput (U), sekitar 11.00 pagi pada 3 November 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 8(a) perintah sama yang boleh dihukum mengikut Perenggan 8(A) perintah berkenaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 dan tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Wong yang tidak diwakili peguam memohon maaf atas kesilapan tersebut dan memaklumkan pihak syarikat telah mengambil tindakan segera menghentikan pengeluaran sejurus selepas barangan dirampas.
Beliau berkata syarikat itu juga telah berjaya memperoleh pensijilan halal yang diperbaharui hanya 13 hari selepas tarikh barangan dirampas, selain memohon denda ringan memandangkan ia merupakan kesalahan pertama membabitkan sijil halal serta berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Muhamad Hanif Abd Azis pula memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta sensitiviti masyarakat terhadap isu halal.
Muhamad Hanif berkata, menerusi representasi yang difailkan sebelum ini, pihak pendakwaan telah memohon agar hukuman denda sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap OKS sekiranya mahkamah memilih hukuman berkenaan.
OKS membayar denda itu. – Bernama