Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Aidiladha: Erti sebuah pengorbanan
  • RENCANA
  • TEMPATAN

Aidiladha: Erti sebuah pengorbanan

Utusan Sarawak 7 hours ago
JEMAAH menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Masjid Negara semalam. Bacaan Yasin dipimpin oleh Imam Kanan Masjid Negara Hassan Al-Fadhli Abdul Rahman. Foto BERNAMA


TIDAK lama lagi, seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah. Aidiladha dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana pada hari tersebut umat Islam akan melaksanakan ibadah korban sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT.

Perayaan ini bukan sekadar sambutan biasa, bahkan mengandungi pengajaran yang besar tentang erti pengorbanan, keikhlasan, kesabaran dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Peristiwa Aidiladha berkait rapat dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S.. Nabi Ibrahim merupakan seorang nabi yang sangat taat kepada perintah Allah SWT.

Baginda diuji dengan satu ujian yang amat berat apabila diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya sendiri, Nabi Ismail.

Walaupun hati seorang ayah pasti berasa sedih dan berat untuk melaksanakan perintah tersebut, Nabi Ibrahim tetap akur kerana yakin bahawa segala perintah Allah mempunyai hikmah yang besar.

Sebagimana Allah SWT menceritakan kisah ini dalam al-Quran: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu. Anaknya menjawab: Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah ayah akan mendapati aku daripada orang yang sabar.” (Surah al-Saffat: 102)

Jelas ayat ini menunjukkan betapa tingginya keimanan dan ketakwaan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kedua-duanya sanggup berkorban demi melaksanakan perintah Allah SWT.

Nabi Ismail pula menunjukkan sifat taat dan sabar walaupun dirinya yang dikorbankan. Akhirnya Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas sebagai tanda rahmat dan kasih sayang-Nya kepada hamba yang taat. 

Daripada kisah ini, umat Islam dapat memahami bahawa pengorbanan yang sebenar bukan hanya melibatkan harta benda, tetapi juga melibatkan perasaan, masa, tenaga dan kehendak diri sendiri demi mencari keredaan Allah SWT.

Dalam kehidupan seharian, pengorbanan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti membantu ibu bapa, menuntut ilmu, bekerja mencari rezeki yang halal, membantu golongan miskin dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

PENGORBANAN SEBAGAI BUKTI KETAATAN KEPADA ALLAH SWT

Selain pengorbanan harta, umat Islam juga perlu berkorban untuk memperbaiki diri dan akhlak. Ada orang yang sanggup berkorban masa untuk menuntut ilmu, ada yang berkorban tenaga demi membantu keluarga, dan ada juga yang berkorban meninggalkan maksiat demi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Semua pengorbanan ini sangat bernilai jika dilakukan dengan niat yang ikhlas.

Aidiladha juga mengingatkan umat Islam supaya sentiasa bersabar ketika menghadapi ujian hidup. Kehidupan manusia tidak akan terlepas daripada pelbagai cabaran seperti kesusahan, penyakit, kehilangan dan kegagalan.

Namun, kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengajar bahawa setiap ujian yang dihadapi dengan sabar dan penuh keimanan pasti akan mendapat pertolongan dan ganjaran daripada Allah SWT.

Sebagai umat Islam, kita hendaklah mengambil pengajaran disebalik sambutan Aidiladha dengan memperbaiki diri menjadi insan yang lebih bertakwa dan penyanyang.

Kita perlu belajar untuk berkorban demi agama, keluarga dan masyarakat. Sikap mementingkan diri sendiri hendaklah dijauhi kerana Islam mengajar umatnya supaya saling membantu dan bekerjasama dalam melakukan kebaikan.

Kesimpulannya, Aidiladha bukan sekadar perayaan menyembelih haiwan korban, tetapi merupakan simbol pengorbanan, keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menjadi teladan yang sangat besar kepada seluruh umat Islam agar sentiasa taat kepada perintah Allah SWT walaupun terpaksa menghadapi ujian yang berat.

Melalui sambutan Aidiladha, umat Islam dapat memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT serta mengeratkan hubungan sesama manusia melalui amalan berkongsi rezeki dan membantu golongan yang memerlukan.

Oleh itu, marilah kita menghayati makna sebenar Aidiladha dengan menjadi insan yang sanggup berkorban demi mencapai keredaan Allah SWT.





Kisah Abu Talhah Al-Ansari dan isterinya dalam erti pengorbanan

ANTARA kisah sahabat Nabi SAW yang sangat terkenal tentang pengorbanan ialah kisah Abu Talhah Al-Ansari dan isterinya, Ummu Sulaim.

Mereka merupakan pasangan yang sangat mulia dan terkenal dengan sifat sabar, pemurah serta sanggup berkorban demi agama dan kebajikan orang lain.

Pada suatu malam, seorang tetamu datang menemui Prophet Muhammad dalam keadaan lapar. Namun, di rumah Rasulullah SAW ketika itu tiada makanan untuk diberikan kepada tetamu tersebut.

Rasulullah SAW lalu bertanya kepada para sahabat siapakah yang sanggup membawa tetamu itu pulang dan melayannya dengan baik.

Abu Talhah Al-Ansari segera menawarkan diri untuk membawa tetamu itu ke rumahnya. Apabila sampai di rumah, beliau bertanya kepada isterinya sama ada mereka mempunyai makanan. Ummu Sulaim memberitahu bahawa makanan yang ada hanyalah cukup untuk anak-anak mereka sahaja.

Walaupun berada dalam kesusahan, mereka tetap mahu memuliakan tetamu tersebut. Lalu mereka membuat satu pengorbanan yang sangat besar.

Mereka menidurkan anak-anak tanpa makan dan berpura-pura makan bersama tetamu supaya tetamu itu tidak berasa malu.

Sebenarnya, mereka membiarkan tetamu tersebut makan semua makanan yang ada sedangkan mereka sendiri menahan lapar.

Keesokan harinya, apabila Abu Talhah Al-Ansari bertemu Rasulullah SAW, baginda bersabda bahawa Allah SWT kagum dan reda dengan perbuatan mereka berdua.

Kisah ini menjadi bukti betapa tingginya sifat pengorbanan para sahabat demi membantu orang lain dan mencari keredaan Allah SWT.

Allah SWT juga menyanjung golongan Ansar melalui firman-Nya:“Dan mereka mengutamakan orang lain atas diri mereka sendiri sekalipun mereka juga memerlukan.”(Surah al-Hasyr: 9)

Kisah ini mengajar umat Islam bahawa pengorbanan bukan hanya melalui harta yang banyak, tetapi juga melalui keikhlasan hati dan kesanggupan membantu orang lain walaupun diri sendiri berada dalam kesusahan.

Sikap seperti inilah yang perlu dicontohi terutama ketika menyambut Aidiladha, iaitu sanggup berkongsi rezeki, membantu golongan memerlukan dan mengutamakan kebajikan orang lain demi meraih keberkatan.

Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Institut SHEDA gesa kerajaan kaji semula struktur FWTA
Next: Kawal emosi, jaga akhlak kunci peroleh haji mabrur

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.