
LUNDU: Ketua Polis Daerah Lundu, Superintendan Sudirman Kram berkata seorang lelaki berusia 58 tahun maut dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Viva di KM18 Jalan Lundu-Bau, kelmarin.
Sudirman berkata kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi apabila pemandu Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang Perodua Viva yang dipandu mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, kenderaan mangsa terbabas dan mangsa tercampak keluar sebelum terjatuh ke dalam parit di tepi jalan,” katanya.

Beliau berkata mangsa yang merupakan lelaki Cina dan bekerja sebagai buruh dikejarkan ke Hospital Lundu dengan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 12.52 tengah hari.
Pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Sudirman, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Oleh Connie Chieng