
KUALA LUMPUR: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini ditauliahkan pangkat Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sekali gus meneruskan kesinambungan tradisi ketenteraan keluarga Diraja Selangor dalam dunia maritim.
Markas Tentera Laut dalam kenyataan memaklumkan majlis pemakaian pangkat tersebut disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan diiringi Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain di Istana Alam Shah, Klang.
Menurut kenyataan itu, pertukaran perkhidmatan baginda daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) ke Cawangan Eksekutif TLDM diperkenankan Yang di-Pertuan Agong menerusi Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang berkuat kuasa pada 19 November 2025.
“Pertukaran perkhidmatan ini merupakan kesinambungan tradisi keluarga Diraja Selangor yang sinonim dengan dunia maritim dan perkhidmatan TLDM.
“Nenda Baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pernah berkhidmat sebagai Kapten Yang Dipertua TLDM Ketiga, manakala ayahanda baginda, Sultan Sharafuddin merupakan Kapten Yang Dipertua TLDM sehingga kini,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Tengku Amir Shah yang sebelum ini menyandang pangkat Leftenan TLDM, dinaikkan pangkat ke Leftenan Komander TLDM selepas kelulusan MAT Ke-633 dengan tarikh kekananan bermula 24 Februari lepas.
“Raja Muda Selangor turut diperjawatkan di Unit Pasukan Simpanan Sukarela TLDM, KD Sri Klang,” menurut kenyataan itu.
Sebagai sebahagian daripada penyesuaian dalam perkhidmatan baharu itu, Raja Muda Selangor akan menjalani latihan familiarisasi secara komprehensif bagi mendalami peranan, fungsi dan budaya kerja TLDM.
Selain itu, baginda juga akan mengikuti latihan pengendalian kapal serta menyertai latihan bersama melibatkan TLDM dan angkatan laut negara-negara sahabat.
Menyingkap sejarah ketenteraan baginda, Tengku Amir Shah memulakan kerjaya ketenteraan pada 2014 apabila menjalani latihan Pegawai Kadet di Akademi Tentera Darat, Port Dickson sebelum meneruskan latihan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom dari 2015 hingga 2016.
Raja Muda Selangor ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda pada 19 Julai 2016 dan ditempatkan di Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (17 RAMD) Para sebagai Ketua Platun Rintis Serang selain layak memakai Maroon Beret dan Sayap Penerjunan Kehormat Para.
Pada 15 April 2017, Tengku Amir Shah dinaikkan pangkat ke Leftenan sebelum menyandang pangkat Kapten pada 19 November 2020 dalam perkhidmatan 17 RAMD. – Bernama