Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Jambatan Batang Lupar 1 buka lembaran baharu pembangunan pesisir Sarawak
  • TEMPATAN

Jambatan Batang Lupar 1 buka lembaran baharu pembangunan pesisir Sarawak

Utusan Sarawak 7 hours ago
JAMBATAN Batang Lupar 1 rasmi dibuka hari ini sekali gus menamatkan kebergantungan pengguna jalan raya terhadap perkhidmatan feri di laluan utama Kuching hingga Miri. Foto UKAS

SEBUYAU: Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 hari ini menandakan satu lagi pencapaian bersejarah kerajaan Sarawak apabila jambatan sungai terpanjang di Malaysia itu kini rasmi dibuka kepada orang ramai.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan sepanjang 4.84 kilometer itu bukan sahaja menjadi kebanggaan Sarawak malah membuktikan kemampuan kerajaan negeri membiayai projek mega menggunakan dana sendiri.

Menurutnya, projek bernilai RM848 juta itu berjaya direalisasikan hasil kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri.

“Hari ini adalah hari yang cukup bersejarah untuk Sarawak. Jambatan Batang Lupar 1 ini merupakan jambatan sungai paling panjang di Malaysia.

“Kita cukup bangga dengan pencapaian ini dan berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang berjaya membina jambatan ini menggunakan dana negeri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pra-pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 di Sebuyau, hari ini.

UGGAH (tengah) bersama Julaihi (dua kiri) pada majlis pra-pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 di Sebuyau hari ini.

Menurut Uggah, pembukaan jambatan itu juga menyaksikan operasi feri di laluan utama dari Kuching menuju Pusa hingga ke Miri kini menjadi sejarah.

“Mulai hari ini, dari Kuching ke Pusa hingga Miri, tidak ada lagi feri. Ini pembangunan yang dibawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak.

“Dulu perjalanan menggunakan feri boleh mengambil masa antara 30 hingga 45 minit, tetapi kini hanya sekitar lima minit untuk menyeberangi jambatan ini,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan pembinaan jambatan tersebut turut menepis tanggapan sesetengah pihak yang sebelum ini mempersoalkan kemampuan kerajaan GPS melaksanakan projek mega.

“Kita janji, kita buat dan kita tunaikan. Satu demi satu jalan siap, jambatan siap, bekalan air siap dan bekalan elektrik siap.

UGGAH bersama kenamaan lain berjalan melintas Jambatan Batang Lupar 1.

“Inilah bukti kejayaan kerajaan GPS dalam mengubah corak pembangunan fizikal dan ekonomi Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 pernah berdepan cabaran besar termasuk pembatalan projek itu oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Bagaimanapun katanya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, kerajaan Sarawak mengambil pendekatan berani untuk meneruskan projek tersebut menggunakan dana sendiri.

“Premier Sarawak ketika itu berkata ‘teruskan, kita akan cari dana’ dan hari ini menjadi saksi bahawa jambatan ini benar-benar menjadi realiti.

“Kerajaan GPS Sarawak mampu menunaikan janji dan melaksanakan amanah rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah memaklumkan beberapa feri sedia ada akan dipindahkan ke kawasan pedalaman yang masih memerlukan perkhidmatan tersebut termasuk di Pulau Bruit (feri Paloh), Sedaya dan Tanjung Embang.

Jambatan Batang Lupar 1 yang terletak kira-kira 116 kilometer dari bandar raya Kuching kini membolehkan perjalanan ke kawasan Sri Aman menjadi lebih singkat dengan anggaran masa sekitar satu jam 30 minit dari Samarahan.

Sebelum ini, perjalanan ke Sri Aman mengambil masa lebih dua jam berikutan pengguna jalan raya perlu menunggu giliran menaiki feri untuk menyeberangi sungai Batang Lupar.

Jambatan sepanjang 4.844 kilometer itu dibina dengan konfigurasi dua lorong dua hala dengan kelebaran lorong 3.5 meter serta bahu jalan berturap selebar tiga meter di kedua-dua arah.

Selain mempunyai 87 pier dan 202 lampu jalan, jambatan berkenaan turut dilengkapi saluran navigasi selebar 250 meter dan setinggi 26 meter, selain direka dengan had kelajuan 80 kilometer sejam.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: TYT, isteri menunaikan ibadat haji, mohon doa perjalanan dipermudahkan
Next: Institut SHEDA gesa kerajaan kaji semula struktur FWTA

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.