YUKI Tsunoda menegaskan tidak gentar muncul pemandu termuda beraksi di saingan Formula Satu (F1) tahun ini selain mengakui tidak takut untuk melakukan kesilapan pada musim pertamanya.
Selepas mempamer aksi cemerlang di Formula Dua (F2), pemandu Jepun itu akan beraksi di pentas F1 bersama AlphaTauri menggantikan Daniil Kvyat sekali gus bergandingan bersama Pierre Gasly.
Pada usia hanya 20 tahun, Tsunoda muncul pemandu paling kurang berpengalaman dan termuda di saingan F1 selepas hanya melalui tempoh singkat tiga tahun dari Formula Empat (F4) ke pentas F1.
Ditanya adakah dia berasa sebarang tekanan menjadi pemandu paling muda, Tsunoda berkata: “Tidak juga.”
“Ini adalah musim pertama saya dan saya akan bekerja keras daripada awal lagi untuk menyesuaikan diri dengan jentera semampu yang boleh.
“Tapi saya tak takut untuk melakukan kesilapan. Saya percaya dapat mempelajari sesuatu daripada kesilapan yang dilakukan seperti yang dibuktikan tahun lalu di F2.
“Saya sangat gembira kerana mendapat sokongan daripada penyokong Jepun.
“Saya juga berbangga kerana menjadi seorang lagi pemandu F1 dari Jepun selepas Kamui Kobayashi pada 2014.
“Sebenarnya tidak banyak berbeza tekanan yang akan saya lalui berbanding tahun lalu.
“Saya berjaya meningkatkan prestasi daripada pelbagai aspek pada tahun lalu.” – AFP