Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Kerbau mirip rambut perang Donald Trump jadi tarikan menjelang Aidiladha
  • GLOBAL

Kerbau mirip rambut perang Donald Trump jadi tarikan menjelang Aidiladha

Utusan Sarawak 4 hours ago
GAMBAR yang dirakam pada 17 Mei 2026 ini menunjukkan seorang penjaga sedang mengurus seekor kerbau albino yang digelar ‘Donald Trump’ untuk dijual sempena Aidiladha di sebuah ladang ternakan di Narayanganj. Foto AFP

NARAYANGANJ, Bangladesh: Orang ramai di Bangladesh berpusu-pusu mengambil gambar bersama seekor kerbau albino yang menjadi sensasi media sosial kerana memiliki rambut perang mengurai dan digelar ‘Donald Trump’, sebelum haiwan itu dijadualkan untuk dikorbankan dalam beberapa hari lagi.

Pemiliknya, Zia Uddin Mridha, 38, berkata adiknya menamakan kerbau seberat 700 kilogram itu sempena gaya rambut haiwan tersebut yang menyerupai imej ikonik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Adik saya memilih nama ini kerana rambut kerbau itu yang luar biasa,” katanya kepada AFP di ladangnya di Narayanganj, di pinggir ibu kota Dhaka.

Mridha berkata sepanjang Mei, ladangnya menerima kunjungan berterusan daripada peminat media sosial, pengunjung serta kanak-kanak yang ingin melihat sendiri sensasi internet berkenaan.

Beliau menyaksikan beberapa lelaki menyiram air sejuk ke kepala kerbau itu sambil menyikat rambut perang haiwan tersebut menggunakan berus merah jambu yang tersusun kemas di antara tanduknya yang melengkung besar.

“Kemewahan yang dinikmatinya hanyalah mandi empat kali sehari,” katanya sambil menegaskan bahawa persamaan antara kerbau itu dengan presiden Amerika Syarikat berkenaan hanyalah pada rambut mereka.

Pegawai jabatan ternakan berkata kerbau albino amat jarang ditemui dan kelihatan putih atau merah jambu akibat kekurangan penghasilan melanin.

Aidiladha

Bangladesh yang majoriti penduduknya beragama Islam dan mempunyai kira-kira 170 juta penduduk kini sedang membuat persiapan menyambut Aidiladha atau “Hari Raya Korban” yang akan diraikan pada hujung bulan ini.

Lebih 12 juta ternakan termasuk kambing, biri-biri, lembu dan kerbau dijangka dikorbankan sepanjang perayaan itu, sekali gus memberi peluang kepada ramai keluarga miskin menikmati hidangan daging yang jarang diperoleh.

Mridha berkata tekanan akibat kehadiran terlalu ramai pengunjung menyebabkan kerbau itu kehilangan berat badan sehingga beliau terpaksa mengehadkan tontonan awam.

Namun begitu, kanak-kanak masih terus mengintai melalui pagar untuk melihat haiwan tersebut.

Seorang ahli perniagaan, Faisal Ahmed, 30, antara individu yang berjaya mendekati kerbau itu sambil merakam gambar.

“Memang benar ciri-ciri kerbau itu mirip Presiden Donald Trump,” katanya kepada AFP selepas hadir bersama lima rakan dan ahli keluarganya untuk melihat haiwan berkenaan.

“Anak saudara saya menaiki bot selama satu jam semata-mata untuk melihat ‘Donald Trump’,” tambahnya.

Melakukan Pengorbanan

Walaupun kerbau ‘Trump’ itu menjadi bintang media sosial di Bangladesh, ia bukan satu-satunya haiwan yang mempunyai nama gelaran.

Antara kerbau lain di ladang tersebut ialah seekor yang agresif bernama “Tufan” yang bermaksud ribut, seekor lagi dipanggil “Fat Boy” kerana saiznya yang besar, serta “Sweet Boy” yang bersifat lembut.

Seekor lembu berambut perang keemasan pula dinamakan sempena Neymar kerana potongan rambut perang cerahnya.

Mridha yang menjaga kerbau berusia empat tahun itu sejak setahun lalu memandang penuh kasih terhadap haiwan tersebut ketika ia sedang menikmati makanan ternakan.

“Saya akan merindui Donald Trump, tetapi itulah semangat utama Aidiladha, iaitu melakukan pengorbanan.” – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Indonesia jamin tiada lagi pengurangan kuota eksport gas pada 2026
Next: Zoo Singapura sambut kelahiran orang utan Sumatera

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.