
KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia melonjak 15.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.127 trilion bagi tempoh Januari hingga April 2026 sekali gus mencipta sejarah baharu, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Prestasi itu dipacu oleh lonjakan permintaan terhadap produk pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) serta strategi kepelbagaian pasaran yang terancang.
Dalam satu kenyataan hari ini, MATRADE menyatakan eksport melonjak 19 peratus kepada RM609.31 bilion manakala import meningkat 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion, sekali gus mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
“Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM91.92 bilion, lonjakan luar biasa sebanyak 99.1 peratus yang secara efektif menggandakan prestasi tahun sebelumnya,” jelasnya.
MATRADE menambah Malaysia menunjukkan daya tahan sektor luaran yang luar biasa meskipun di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat. – Bernama