
MATU: Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) memberi tempoh 48 jam kepada pemilik haiwan ternakan yang berkeliaran tanpa kawalan di kawasan pentadbirannya untuk menuntut semula ternakan yang disita sebelum tindakan lanjut diambil.
MDMD menerusi satu notis makluman, memaklumkan operasi sitaan haiwan ternakan terbiar itu dilaksanakan di bawah Dasar Penguatkuasaan Haiwan Ternakan Terbiar di kawasan pentadbirannya.
Menurut notis tersebut, pemilik haiwan ternakan yang disita atau dipindahkan perlu menuntut semula ternakan masing-masing dalam tempoh ditetapkan daripada tarikh notis dikeluarkan.
“Pemilik perlu membuat bayaran tuntutan sebanyak RM3,000 bagi setiap ekor haiwan ternakan yang disita,” menurut notis itu.

MDMD turut menegaskan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap haiwan ternakan terbabit sekiranya pemilik gagal menuntut dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Operasi berkenaan dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan bagi menangani masalah haiwan ternakan terbiar yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan pentadbiran MDMD.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi pejabat MDMD di talian 084-832233 atau 019-9423749.
Oleh Akun Giman