
BINTULU: Beberapa jalan utama di sekitar bandar ini akan ditutup sementara pada Ahad ini bagi memberi laluan kepada penganjuran Sarawakku Sayang Fun Run @ Larian Separuh Maraton Gawai Dayak JomRun 2026 sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bintulu 2026.
Menurut satu kenyataan, penutupan jalan akan bermula seawal 3.00 pagi hingga 8.00 pagi dengan acara tersebut dijangka disertai sekitar 1,500 peserta.
Antara laluan yang terlibat ialah Jalan Tun Ahmad Zaidi menghala ke Jambatan Tun Taib Mahmud, simpang keluar Jalan Polycarp Sim Ching Mong, laluan keluar masuk Jalan Pisang Raja, Kampung Warisan Jepak, Bulatan Kuala Tatau serta Jalan Tun Razak di bawah Jambatan Tun Taib Mahmud.

Sepanjang tempoh berkenaan, kawalan lalu lintas akan dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama anggota RELA bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya dan peserta larian.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal selain mematuhi arahan petugas dan tanda kawalan lalu lintas yang disediakan di lokasi terlibat.
Dalam pada itu, orang ramai turut diingatkan bahawa penggunaan dron tanpa kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.
Acara larian tersebut melibatkan tiga kategori iaitu 21 kilometer, 10 kilometer dan lima kilometer dengan pelepasan peserta dilakukan mengikut jadual bermula di Lasar Kenyalang.
Oleh Carolyne Utih