Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Konsep PAKW diteliti nilai kelayakan bantuan, tidak hanya berasaskan B40, M40, T20 – Akmal Nasrullah
  • NASIONAL

Konsep PAKW diteliti nilai kelayakan bantuan, tidak hanya berasaskan B40, M40, T20 – Akmal Nasrullah

Utusan Sarawak 4 hours ago
MENTERI Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di Putrajaya hari ini. Turut sama, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi sedang meneliti pendekatan lebih adil dan menyeluruh dalam menentukan kelayakan bantuan serta subsidi rakyat, dengan mengambil kira pendapatan boleh guna bersih dan komitmen sebenar isi rumah, berbanding hanya bergantung kepada klasifikasi tradisional B40, M40 dan T20.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata konsep itu dibangunkan berasaskan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), yang membolehkan penilaian lebih tepat dibuat terhadap keadaan sebenar sesebuah isi rumah.

Beliau berkata perbincangan itu juga mengambil kira realiti krisis global semasa, yang boleh menambah tekanan kos sara hidup rakyat sekiranya berlarutan.

Akmal Nasrullah berkata pendekatan itu mengambil kira kos asas kehidupan wajar sesebuah isi rumah termasuk lokasi tempat tinggal, jumlah tanggungan keluarga dan komitmen kewangan yang perlu ditanggung.

“Kita mengetengahkan perbincangan mengenai bagaimana melihat keupayaan kehidupan rakyat itu, bukan hanya berteraskan kepada pendapatan semata-mata. Pendapatan yang ada itu perlu mengambil kira perbelanjaan asas untuk seseorang ataupun seisi rumah meneruskan kehidupan yang wajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi, di sini hari ini.

Ditanya sama ada pendekatan itu akan menggantikan klasifikasi pendapatan sedia ada seperti B40, M40 dan T20, Akmal Nasrullah berkata tiada keputusan dibuat setakat ini, kerana perkara itu masih pada peringkat perbincangan dan memerlukan persetujuan bersama pada peringkat kerajaan, termasuk Kabinet dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Beliau berkata pendekatan yang dibincangkan tidak lagi tertumpu kepada pengkelasan kumpulan pendapatan, sebaliknya memberi penekanan kepada situasi sebenar isi rumah berdasarkan tanggungan dan komitmen masing-masing.

“Pengiraan ini tidak melihat klasifikasi berkenaan kerana satu keluarga mungkin mempunyai penilaian PAKW yang berbeza, walaupun menerima gaji yang sama.

“Sebab itu perbandingan berdasarkan pendapatan semata-mata kadang-kadang ia tidak apple to apple,” katanya.

Beliau berkata pengiraan tersebut tidak melihat kepada klasifikasi tetap seperti T20 atau B40, kerana dua keluarga dengan pendapatan sama boleh mempunyai tahap beban kewangan yang jauh berbeza.

Akmal Nasrullah berkata pendekatan itu dilihat lebih tepat bagi menggambarkan kemampuan sebenar isi rumah, terutama bagi keluarga di kawasan bandar yang berdepan kos sara hidup dan komitmen lebih tinggi walaupun berada dalam kelompok pendapatan lebih tinggi.

Beliau berkata data dan input yang digunakan dalam simulasi tersebut, diperoleh menerusi sistem Pangkalan Data Utama (PADU), namun menegaskan ia masih dalam bentuk perbincangan dan belum dibawa untuk pertimbangan rasmi ketika krisis ekonomi semasa.

“Kalau ada keputusan yang lebih mendesak perlu dibuat, pandangan daripada kami ialah jangan dilihat hanya daripada sudut pendapatan semata-mata, tetapi mengambil kira juga perbelanjaan dan komitmen yang perlu ditanggung oleh sesebuah keluarga,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Pertambahan EV dan persiapan Malaysia urus sisa bateri
Next: Pelanjutan Skim Simen Rahmah bantu tangani peningkatan kos pembinaan – REHDA

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.