
BEKENU: Sebanyak 500 kampit beras akan diagihkan kepada orang ramai secara percuma oleh Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Sarawak di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chee Mung, Batu Niah pada 24 Mei ini.
Pengagihan itu merupakan anjuran Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persekutuan Persatuan Buddha Sarawak sempena sambutan Hari Wesak 2026.
Bekas Pengerusi Pertubuhan Penganut Agama Buddha Batu Niah, Kaunselor Chong Tet Fat berkata, program agihan beras sempena sambutan Hari Wesak 2026 sebagai salah satu aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan kepada golongan memerlukan.
“Sebanyak 500 kampit beras telah disediakan dan pengagihan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat sehingga stok habis.

“Program amal bersempena Tahun Buddha 2570 itu akan berlangsung pada 9.00 pagi di Gelanggang Bola Keranjang SJK Chee Mung Batu Niah yang turut dijadikan kawasan parkir bagi memudahkan orang ramai hadir,” katanya yang dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Sementara itu, penyelaras program, Survana Bong berkata, aktiviti bertemakan
‘Menyebarkan Kebajikan, Memberi Manfaat Kepada Semua Makhluk’ itu menekankan nilai kasih sayang, kemurahan hati serta amalan bersedekah dalam kehidupan bermasyarakat.
“Penganjur berharap program tersebut dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan selain menyemarakkan semangat perpaduan, keprihatinan dan amalan kebajikan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program berkenaan boleh menghubungi penyelaras program, Survana Bong di talian 016-8887849.
Oleh Adum Liu