
CANBERRA: Australia sedang menyediakan pakej sokongan kesihatan kecemasan selepas lebih 220 kes difteria direkodkan di seluruh negara tahun ini, sekali gus menandakan wabak terbesar di negara itu dalam tempoh beberapa dekad, kata pegawai kesihatan hari ini, lapor Xinhua.
Menteri Kesihatan Australia Mark Butler menyifatkan lonjakan itu sebagai amat membimbangkan pada satu sidang media, sambil menyatakan jumlah kes adalah kira-kira 30 kali ganda berbanding purata bilangan kes difteria dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kerajaan persekutuan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk meningkatkan liputan vaksinasi dan menggerakkan tenaga kerja tambahan, terutamanya di komuniti orang asli yang terpencil di mana wabak tersebut tertumpu.
Difteria merupakan sejenis jangkitan bakteria yang sangat mudah berjangkit dan boleh membawa maut dalam kes yang teruk.
Pernah menjadi punca utama kematian kanak-kanak, penyakit ini boleh dicegah melalui vaksinasi tetapi boleh menular semula apabila imuniti semakin berkurangan.
Perdana Menteri Anthony Albanese menggesa rakyat Australia untuk memastikan vaksinasi mereka adalah yang terkini, dan menyifatkannya sebagai perkara paling penting yang boleh dilakukan oleh orang ramai, lapor Perbadanan Penyiaran Australia. – Bernama