
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur hijau dan mampan menerusi pelaksanaan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kini menjadi teras kepada perancangan pembangunan negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan berasaskan ESG itu selari dengan visi kerajaan negeri dalam memastikan setiap projek pembangunan bukan sahaja berimpak tinggi, malah lestari dan berdaya tahan untuk jangka panjang.
“Pendekatan ESG selari dengan visi Sarawak bagi memastikan projek pembangunan mendatangkan impak tinggi dan berdaya tahan untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas penganugerahan ‘Sustainability Visionary Award oleh United Nations Global Compact Network’ Malaysia dan Brunei pada Januari lalu, yang menurutnya mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan negeri dalam agenda kelestarian global.
Mengulas pelaksanaan di peringkat negeri, beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah memperkenalkan dasar ESG bagi memperkukuh penyampaian infrastruktur yang lebih selamat, moden dan berdaya tahan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Antara projek yang dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi ‘beg air’ dalam projek lebuh raya Sebuyau–Lingga (Pakej B1), pembinaan jajaran lebuh raya bertingkat sejauh 11 kilometer antara Jambatan Batang Samarahan dan Jambatan Batang Sadong (Pakej A1-B), serta pembinaan struktur bertingkat sepanjang 700 meter menggunakan sistem Arch di laluan Jalan Teku Pasai Siong ke Kemuyang, Sibu (Pakej 1).
Selain itu, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu berkata, projek terowong sepanjang 2.24 kilometer dengan diameter 10.6 meter menggunakan Kaedah Pengorekan Terowong Austria Baharu (NATM) di bawah Projek Rangkaan Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) Fasa 2 (Pakej 4) turut menjadi antara komponen utama pembangunan infrastruktur negeri. Turut dilaksanakan ialah pembinaan jejambat (viaduct) sepanjang 798.6 meter bagi Pakej A2 yang merentasi kawasan Taman Negara Sedilu.
Dalam sektor pelabuhan, Lembaga Pelabuhan Kuching turut mempergiat usaha ke arah pelabuhan hijau melalui penggunaan peralatan berkuasa elektrik termasuk kren dermaga serta naik taraf sistem pencahayaan kepada teknologi LED yang lebih cekap tenaga, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dan kos operasi.
Sementara itu, Lembaga Pelabuhan Miri turut melaksanakan inisiatif ESG dengan menyediakan kemudahan bekalan kuasa darat kepada kapal yang berlabuh, di samping pemasangan lampu LED di seluruh kawasan operasinya sebagai langkah memperkukuh kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar.
Oleh Norman B