
PETRA JAYA: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu semua agensi pelaksana dan anggota perkhidmatan awam negeri bergerak lebih pantas dalam melaksanakan projek serta menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Premier Sarawak menegaskan bahawa tiada lagi ruang untuk kelewatan tidak perlu melibatkan pelaksanaan projek, proses kelulusan, penyampaian perkhidmatan mahupun pembuatan keputusan dalam pentadbiran kerajaan.
“Saya menggesa semua agensi pelaksana dan anggota perkhidmatan awam supaya tidak berlaku kelewatan yang tidak perlu dalam pelaksanaan projek, penyampaian perkhidmatan, proses kelulusan atau pembuatan keputusan.
“Kepantasan amat penting dan ia mesti bergerak seiring dengan disiplin, koordinasi serta akauntabiliti,” katanya ketika ketika menggulung perbahasan di hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak kini memasuki fasa kritikal pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan semua pihak perlu memastikan setiap dasar serta projek diterjemahkan kepada hasil nyata untuk rakyat.
Katanya, tempoh kurang empat tahun menuju 2030 menuntut budaya kerja lebih cekap, responsif dan berorientasikan hasil dalam kalangan penjawat awam negeri.
“Kita kini berada dalam fasa pelaksanaan dan penyampaian hasil. Rakyat mahu melihat projek siap mengikut jadual dan manfaat pembangunan dapat dirasai,” katanya.
Abang Johari berkata, perkhidmatan awam Sarawak juga perlu bergerak lebih tangkas dengan memanfaatkan sistem digital bagi memantau prestasi projek secara masa nyata selain membantu proses membuat keputusan berasaskan data.
Menurutnya, pendekatan ‘whole-of-government’ perlu diperkukuh menerusi koordinasi lebih baik antara kementerian dan agensi kerajaan supaya pelaksanaan projek dapat dipercepatkan.
“Kita mesti memecahkan silo antara agensi dan memperkukuh koordinasi.Perkhidmatan awam perlu lebih proaktif dan inovatif dalam mencari penyelesaian,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata penjawat awam juga perlu lebih kerap turun padang terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memahami keperluan sebenar rakyat.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan Sarawak tidak boleh hanya dirancang di pejabat semata-mata sebaliknya perlu berpandukan realiti dan cabaran sebenar di lapangan.
“Pegawai kerajaan perlu mendengar sendiri suara rakyat supaya setiap dasar dan projek benar-benar memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Abang Johari turut mengingatkan bahawa pengurusan kewangan berhemah dan ketelusan tadbir urus perlu terus dipelihara bagi memastikan keyakinan pelabur terhadap Sarawak kekal kukuh.
Menurut beliau, disiplin pelaksanaan dan tadbir urus yang baik menjadi asas penting dalam memastikan Sarawak terus bergerak maju sebagai negeri berpendapatan tinggi dan mampan menjelang 2030.
Oleh Shahrul Qaizat