
SINGAPURA: Gardenia Foods (S) Pte Ltd hari ini mengumumkan bahawa ia akan memindahkan pengeluaran roti dari Singapura ke Johor Bahru susulan kemudahan pengeluaran di Pandan Loop akan menghentikan operasi pada 30 Jun.
Syarikat itu berkata langkah berkenaan akan menyebabkan 141 pekerja di kemudahan Pandan Loop diberhentikan kerja.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengekalkan daya saing dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
Gardenia berkata semua pekerja yang terjejas telah dimaklumkan mengenai keputusan itu semasa mesyuarat dalaman pada pagi Rabu dan akan menerima tempoh notis serta sokongan sewajarnya selaras dengan peraturan dan garis panduan tempatan.
“Syarikat juga sedang mempertimbangkan pekerja yang layak untuk peranan yang bersesuaian dalam rangkaian operasi kumpulan itu, tertakluk kepada kesesuaian,” menurut kenyataan itu.
Menurut syarikat itu, Singapura akan kekal sebagai hab pusat Gardenia bagi fungsi utama.
Ini termasuk pengurusan jenama, inovasi, pembangunan produk, pengawasan kualiti dan pematuhan kawal selia, penglibatan pelanggan dan pihak berkepentingan, serta operasi pengedaran harian dan rantaian bekalan.
“Pasukan Gardenia di Singapura masih akan mempunyai 250 pekerja selepas peralihan ini dan akan terus menyelia tadbir urus kualiti serta memastikan pematuhan terhadap keperluan yang ditetapkan oleh Agensi Makanan Singapura dan Lembaga Penggalakan Kesihatan,” tambahnya.
-Bernama