Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • DUN: Sarawak lindungi isi rumah, perusahaan tempatan daripada tekanan global
  • BISNES

DUN: Sarawak lindungi isi rumah, perusahaan tempatan daripada tekanan global

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini. Foto UKAS
 

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh langkah perlindungan terhadap isi rumah dan perusahaan tempatan susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada kenaikan harga bahan api, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos sara hidup.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tekanan global tersebut turut dirasai rakyat di negeri ini terutama membabitkan perbelanjaan harian dan kos operasi perniagaan kecil.

Menurut beliau, walaupun perkembangan antarabangsa berada di luar kawalan kerajaan negeri, usaha melindungi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi Sarawak akan terus diperkukuh.

Katanya, antara langkah segera yang dilaksanakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ialah penambahbaikan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Bantuan SKAS tahun ini ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,100 bagi setiap isi rumah, RM500 kepada RM600 untuk warga emas serta RM300 kepada RM375 bagi individu bujang.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 900,000 penerima di seluruh Sarawak dengan pembayaran dibuat dalam tiga fasa iaitu Mac, Mei dan November 2026 menerusi aplikasi SPay Global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Tambah beliau, keseluruhan peruntukan SKAS meningkat kepada RM680 juta, bertambah RM198.42 juta berbanding tahun lalu sekali gus membantu merangsang permintaan domestik dan perbelanjaan tempatan.

Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri turut memperkenalkan diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus kepada pengguna domestik bermula April hingga Disember 2026.

Jelas beliau, lebih 700,000 pengguna domestik di seluruh negeri bakal menikmati manfaat tersebut melibatkan bantuan kerajaan berjumlah RM188.1 juta.

Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan pengurangan sewa sebanyak 50 peratus kepada peniaga di pasar, gerai dan premis perniagaan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta badan berkanun.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua berkata, langkah berkenaan melibatkan bantuan kewangan RM8.1 juta bagi mengurangkan kos operasi penjaja, perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus memastikan kesinambungan perniagaan mereka.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut melaksanakan pengurangan 50 peratus kadar royalti hutan, premium dan tarif bagi kayu balak yang dikeluarkan dari hutan semula jadi untuk membantu industri perkayuan yang terkesan akibat peningkatan kos operasi.

Katanya, pengurangan tersebut berkuat kuasa mulai 20 April 2026 hingga 19 April 2027 dan dijangka membantu menstabilkan industri, mengekalkan peluang pekerjaan serta memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk kegunaan domestik.

Tambah beliau, langkah itu juga diyakini mampu meningkatkan pengeluaran tahunan industri perkayuan secara lebih mampan.

“Walaupun berdepan cabaran luar yang tidak dapat dikawal, kerajaan negeri akan terus memastikan Sarawak kekal kukuh, stabil dan berdaya tahan melalui sokongan berterusan kepada rakyat serta sektor perniagaan tempatan,” katanya.

Oleh Norman B

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: DUN: Tiga syarikat Bumiputera Sarawak dalam proses penyenaraian di Bursa Malaysia
Next: Gardenia pindahkan pengeluaran roti dari Singapura ke Johor Bahru

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.