

PETRA JAYA: Tiga syarikat Bumiputera Sarawak yang terlibat dalam sektor minyak dan gas serta kejuruteraan sedang dalam proses penyenaraian di Bursa Malaysia.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, perkembangan itu menunjukkan kemajuan syarikat tempatan dalam memperkukuh kapasiti perniagaan dan daya saing di peringkat lebih tinggi.
“Syarikat berkenaan merupakan antara syarikat yang terlibat dalam program Elevate anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Program ini bertujuan memperkukuh keupayaan operasi, tadbir urus korporat, pematuhan serta persediaan syarikat untuk disenaraikan di pasaran modal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, setakat ini lapan syarikat Bumiputera berprestasi tinggi dari Sarawak telah dikenal pasti untuk menyertai program tersebut.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen Sarawak dalam membangunkan perniagaan Bumiputera yang berdaya saing, mampan dan berimpak tinggi.
“Majlis Ekonomi Bumiputera Sarawak turut memperkenalkan Kerangka ‘3-7-20’ menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Bumiputera Sarawak 2035.
“Kerangka itu menyasarkan pewujudan tiga syarikat Bumiputera tersenarai di Bursa Malaysia, pembangunan tujuh syarikat ‘Champion’ Bumiputera dalam sektor strategik serta transformasi 20 peratus perusahaan mikro Bumiputera kepada syarikat sendirian berhad,” jelasnya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh infrastruktur digital, pembangunan bakat, akses pembiayaan dan peluang pasaran bagi menyokong perusahaan tempatan.
“Kementerian juga akan membangunkan ENBASE, iaitu sistem repositori digital sehenti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengurusan keusahawanan.
“Platform tersebut dibangunkan bagi memudahkan akses kepada bantuan kewangan, latihan dan program pembangunan selain membantu penyelarasan perancangan dasar kerajaan secara lebih berkesan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah