
MAKKAH: Presiden Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan khutbah Hari Arafah tahun ini akan diterjemahkan ke dalam 35 bahasa dan disiarkan melalui platform digital dan saluran gabungannya, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Usaha itu bertujuan untuk menyampaikan tema khutbah kepada umat Islam di seluruh dunia dan menyampaikan mesej kesederhanaan Islam.
Presiden Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais berkata inisiatif terjemahan itu mencerminkan komitmen Arab Saudi untuk berkhidmat kepada Islam dan umat Islam serta menonjolkan keprihatinan kepimpinan terhadap jemaah haji.
Ia juga membantu memaksimumkan impak global musim haji menerusi teknologi moden dan platform digital.
Al-Sudais menambah projek penterjemahan khutbah Arafah adalah antara inisiatif utama kepresidenan, dibangunkan dengan kepakaran bertahun-tahun dan menyumbang kepada memperkaya kandungan agama dalam pelbagai bahasa dunia.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif itu membolehkan orang Islam yang bukan berbahasa Arab mendapat manfaat daripada mesej kerohanian dan kemanusiaan khutbah berkenaan.
Al-Sudais berkata kepresidenan telah menggerakkan keupayaan teknikal dan medianya, bersama-sama dengan pasukan khusus, untuk memastikan khutbah itu mencapai khalayak global seluas mungkin dengan profesionalisme tinggi dan standard kualiti termaju. – Bernama-SPA