
KABONG: Golongan belia di daerah ini terus menunjukkan minat mendalam terhadap teknologi apabila Bengkel Kamek Digital berjaya menarik penyertaan menggalakkan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program yang berlangsung di Perpustakaan Awam Kabong pada 25 April lalu itu dianjurkan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) menerusi inisiatif Sarawak Digital Champion (SDC) 2026.
Inisiatif tersebut menghimpunkan seramai 45 Sarawak Digital Champion mewakili 45 daerah di seluruh Sarawak dengan matlamat melahirkan pemimpin digital komuniti yang mampu menyebarkan pengetahuan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan teknologi digital.
Bagi Daerah Kabong, program berkenaan dikendalikan wakil SDC N40 Kabong, Syahlan Jasmi yang berjaya menganjurkan bengkel pertama sebagai permulaan kepada siri pelaksanaan modul selama enam bulan.

Program itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas teknologi digital serta kepentingannya dalam kehidupan harian khususnya dalam membantu komuniti menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
Sambutan amat memberangsangkan daripada golongan belia di Kabong turut mencerminkan kesediaan masyarakat setempat untuk menerima dan memanfaatkan teknologi digital secara lebih meluas.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili sebelum ini menegaskan bahawa program Sarawak Digital Champion bukan sekadar latihan jangka pendek tetapi satu usaha berterusan yang memerlukan komitmen peserta untuk kembali ke komuniti dan mencipta impak berkekalan.
Menurut beliau, belia bukan sahaja perlu celik digital malah perlu memainkan peranan sebagai pemimpin yang mampu membimbing masyarakat ke arah penggunaan teknologi secara lebih efektif.
“Program ini bukan sekadar memberi latihan tetapi melahirkan pemimpin digital komuniti yang dapat membantu masyarakat memanfaatkan teknologi dalam kehidupan harian,” katanya.
Kerjasama antara SDEC dan AZAM Sarawak juga dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan ekosistem digital negeri yang lebih inklusif dan mampan dengan penglibatan aktif golongan belia sebagai pemacu utama perubahan di peringkat akar umbi.