Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • DUN: Sarawak percepat autonomi kesihatan, dahului RM1.5 bilion bina pusat kanser
  • KESIHATAN

DUN: Sarawak percepat autonomi kesihatan, dahului RM1.5 bilion bina pusat kanser

Utusan Sarawak 3 hours ago
 DATUK Amar Dr Sim Kui Hian ketika ucapan penggulungan Kementerian  Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

PETRA JAYA: Sarawak terus mempercepat agenda autonomi kesihatan negeri termasuk mendahulukan pembiayaan RM1.5 bilion bagi pembangunan Pusat Kanser Sarawak serta perolehan peralatan perubatan moden demi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negeri ini.

Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, langkah tersebut membuktikan komitmen serius kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem kesihatan negeri tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan pendahuluan RM1 bilion bagi projek pusat kanser berkenaan yang akan dibayar balik oleh kerajaan Persekutuan kemudian.

“Premier Sarawak juga meluluskan tambahan lebih RM500 juta bagi pembelian peralatan perubatan untuk projek itu.

“Daripada situ kita dapat melihat komitmen dan kesungguhan kerajaan Sarawak membawa kemudahan rawatan dan penyelidikan kanser moden serta komprehensif ke Sarawak demi rakyat negeri ini,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata, pusat kanser berkapasiti 310 katil itu kini berada pada peringkat perolehan tender melalui Jabatan Kerja Raya Malaysia dan dijangka siap sepenuhnya pada 2032.

Bagaimanapun katanya, beliau telah meminta Jabatan Kerja Raya Persekutuan mempercepat pelaksanaan projek berkenaan dengan sasaran siap menjelang 2030 memandangkan Sarawak kini merekodkan kira-kira 3,000 kes kanser baharu setiap tahun.

“Kita tidak boleh tunggu terlalu lama kerana kes kanser di Sarawak semakin meningkat setiap tahun.

“Sebab itu kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif supaya rakyat mendapat akses rawatan lebih cepat dan berkualiti,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Sim berkata kerajaan Sarawak terus memperjuangkan autonomi kesihatan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk usaha mendapatkan delegasi kuasa tertentu daripada Kementerian Kesihatan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, antara perkara yang sedang diusahakan ialah kuasa berkaitan pendaftaran klinik swasta serta pelesenan hospital dan fasiliti kesihatan swasta di Sarawak bagi mempercepat proses kelulusan selain memastikan ia mematuhi keperluan tempatan.

“Kita mahu proses kelulusan lebih cepat dan lebih sesuai dengan keperluan Sarawak.

“Apabila kuasa tertentu dapat dilaksanakan di peringkat negeri, penyampaian perkhidmatan kesihatan akan menjadi lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Perubatan Sarawak (SMC) yang mula berfungsi sepenuhnya pada Mac lalu juga dijangka membantu mengurangkan masalah kekurangan doktor di Sarawak selain mempercepat proses penempatan pegawai perubatan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Sim berkata Hospital Petra Jaya kini mencapai kemajuan fizikal 91.55 peratus dan dijangka mula beroperasi secara berperingkat tahun ini selepas proses pemasangan peralatan perubatan selesai dilaksanakan.

Beliau berkata, Hospital Lawas pula kini mencapai kemajuan fizikal lebih 97 peratus dan dijangka siap serta beroperasi sepenuhnya menjelang Disember tahun ini.

Selain itu katanya, kerajaan Persekutuan turut meluluskan RM50 juta bagi enam projek fasiliti kesihatan daif di Sarawak termasuk Klinik Kesihatan Santubong, Klinik Kesihatan Tepus di Selangau, Klinik Kesihatan Kuala Lawas serta wad pengasingan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak.

Dr Sim berkata, Kementerian Kesihatan juga memperuntukkan RM5.7 juta tahun ini bagi kerja menaik taraf, membaik pulih dan penyelenggaraan 15 klinik kesihatan serta sebuah Pejabat Kesihatan Daerah di Sarawak.

“Usaha memperkukuh sistem kesihatan negeri akan terus dipertingkat kerana kesihatan rakyat adalah keutamaan kerajaan Sarawak.

“Kita mahu rakyat Sarawak menikmati kemudahan kesihatan yang bukan sahaja setanding piawaian nasional tetapi lebih baik daripada itu,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Kementerian Kesihatan Saudi tawar perkhidmatan maya dalam musim haji
Next: DUN: Kes denggi di Sarawak meningkat 43.4 peratus tahun ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.