Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • SOPPOA gesa kerajaan semak semula pelaksanaan FWTA
  • TEMPATAN

SOPPOA gesa kerajaan semak semula pelaksanaan FWTA

Utusan Sarawak 8 hours ago
SOPPOA gesa kerajaan semak semula pelaksanaan FWTA. Foto hiasan.

KUCHING: Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) menggesa kerajaan melakukan semakan segera terhadap pelaksanaan Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) yang didakwa menambah tekanan kos kepada industri perladangan kelapa sawit di negeri ini.

Dalam kenyataan media hari ini, SOPPOA berkata pihaknya menyokong aspirasi kerajaan Sarawak untuk memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan pendigitalan pengurusan pekerja asing menerusi pelaksanaan FWTA yang menggantikan rangka kerja MSEN sejak Januari lalu.

Bagaimanapun, persatuan itu berkata pelaksanaan dasar berkenaan telah menimbulkan cabaran operasi dan kewangan yang besar khususnya kepada sektor yang bergantung kepada tenaga kerja asing seperti industri kelapa sawit.

“Antara kebimbangan utama industri ialah caj pentadbiran tambahan sebanyak RM1,854 bagi setiap pekerja tidak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang disifatkan meningkatkan kos penggajian secara mendadak.

“Caj tambahan itu hanya dikenakan di Sarawak dan tidak dilaksanakan di Semenanjung Malaysia mahupun Sabah sekali gus meletakkan industri di negeri ini pada kedudukan kurang kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, pelaksanaan FWTA juga berlaku serentak dengan peningkatan kos lain di peringkat Persekutuan termasuk dasar gaji minimum RM1,700 dan cadangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori untuk pekerja asing.

“Gabungan faktor ini telah meningkatkan tekanan kewangan kepada majikan dan menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian operasi jangka panjang,” tambah kenyataan itu.

SOPPOA turut membangkitkan isu pelaksanaan yang disifatkan terlalu pantas selain tempoh peralihan yang terhad sehingga menyebabkan majikan terpaksa menyerap kos tambahan besar dalam tempoh singkat.

Selain itu, persatuan tersebut berkata majikan masih berdepan gangguan teknikal serta ketidakstabilan sistem digital selain isu penyelarasan antara agensi Persekutuan dan negeri yang menjejaskan proses kelulusan serta perancangan operasi.

Sehubungan itu, SOPPOA menggesa kerajaan melakukan semakan menyeluruh terhadap struktur pelaksanaan FWTA khususnya berkaitan fi yang dikenakan kepada majikan.

“Industri kelapa sawit di Sarawak masih sangat bergantung kepada tenaga kerja asing terutama bagi kerja penuaian buah tandan segar yang sukar digantikan sepenuhnya dengan mekanisasi disebabkan faktor muka bumi dan keadaan tanah gambut.

“Sarawak kini mempunyai sekitar 1.67 juta hektar ladang kelapa sawit dan sebarang peningkatan besar kos berkaitan tenaga kerja akan memberi kesan langsung terhadap produktiviti, kelestarian operasi serta daya saing industri,” jelasnya.

Dalam pada itu, SOPPOA menegaskan industri sawit kekal sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara dan hasil kerajaan.

“Industri sawit Malaysia menjana sekitar RM112.51 bilion pendapatan eksport pada 2025 selain menyumbang kepada hasil cukai korporat dan pelbagai levi industri.

“Di Sarawak sahaja, industri berkenaan menyumbang sekitar RM78.3 juta menerusi cess Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), RM88 juta melalui Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) serta sekitar RM673 juta hasil cukai jualan negeri (SST),” ujarnya.

SOPPOA berkata, pihaknya kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan Sarawak dan agensi berkaitan bagi memastikan dasar tenaga kerja dilaksanakan secara pragmatik tanpa menjejaskan daya tahan sektor ekonomi strategik negeri.

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak perkukuh persediaan ke arah negeri menua
Next: DUN: Keterjaminan makanan diperkasa, Sarawak guna model DBOT tarik pelaburan swasta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.