

PETRA JAYA: Sektor pertanian Sarawak terus memainkan peranan penting sebagai pemacu ekonomi luar bandar apabila negeri ini kekal sebagai pengeluar lada terbesar negara dengan menyumbang kira-kira 98 peratus daripada keseluruhan pengeluaran lada Malaysia.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata industri lada negeri dianggarkan menyumbang sekitar RM2 bilion setahun bersamaan 1.3 hingga 1.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak.
Menurutnya, jumlah pengeluaran lada mencecah 30,613 tan metrik dengan nilai eksport sebanyak RM159 juta.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 36 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjaya dibangunkan oleh Lembaga Lada Malaysia menerusi Program Pembangunan Keusahawanan dan PMKS pada 2025 dengan jumlah jualan sekitar RM34.5 juta.
Daripada jumlah tersebut, RM7.1 juta diperoleh daripada pasaran domestik manakala RM27.4 juta lagi dijana menerusi pasaran eksport.
Dalam pada itu, sektor penternakan turut menunjukkan perkembangan positif apabila eksport khinzir hidup meningkat kepada 124,871 ekor bernilai RM197.42 juta pada 2025 berbanding 56,050 ekor bernilai RM56.27 juta pada 2020.
Bagaimanapun, beliau berkata sektor perikanan mencatat penurunan pengeluaran daripada 141,000 tan metrik pada 2020 kepada 125,000 tan metrik pada 2025 iaitu penurunan sekitar 11.4 peratus.
Menurut beliau, keadaan itu berpunca daripada pengurangan hasil tangkapan marin selain penurunan ketara dalam pengeluaran akuakultur air payau.
“Bagi mengatasi cabaran itu, produktiviti perlu dipertingkatkan selain memodenkan infrastruktur, memperkukuh daya tahan industri serta memastikan penggunaan sumber perikanan secara mampan dan bertanggungjawab,” katanya.
Tambah beliau, sektor pertanian Sarawak kini berada pada landasan tepat untuk terus memperkukuh sekuriti makanan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri menerusi penekanan terhadap kelestarian, inovasi teknologi, pemprosesan nilai tambah dan pengembangan eksport.
Oleh Norman B