Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Sarawak pacu industri semikonduktor, MoU strategik SMD buka akses pasaran global
  • TEKNOLOGI

Sarawak pacu industri semikonduktor, MoU strategik SMD buka akses pasaran global

Utusan Sarawak 4 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan pertukaran MoU antara SMD Semiconductor dan rakan strategik antarabangsa di DUN Sarawak. Foto: UKAS 

PETRA JAYA: SMD Semiconductor memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama rakan antarabangsa, sekali gus membuka laluan lebih luas ke pasaran global dalam bidang semikonduktor dan tenaga hijau negeri ini. 

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh ekosistem teknologi negeri yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini. 

Kerjasama tersebut melibatkan SMD Semiconductor bersama Photovoltaic Foundry Pte. Ltd. dan Jiangsu Linyang Energy Co. Ltd., dengan tumpuan kepada pembangunan inovasi semikonduktor, teknologi tenaga baharu serta penyelesaian infrastruktur digital berasaskan teknologi pintar.

Pertukaran dokumen MoU berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil bersama Ketua Pegawai Eksekutif Photovoltaic Foundry Pte. Ltd., Liong Hang Cek dan Pengurus Besar Linyang Group, Yuan Hairong.

KERJASAMA SMD Semiconductor bersama Photovoltaic Foundry Pte. Ltd. dan Jiangsu Linyang Energy Co. Ltd. memfokuskan inovasi semikonduktor, tenaga baharu dan penyelesaian infrastruktur digital pintar. Foto: UKAS

Setiausaha Kewangan Sarawak yang juga Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar berkata, kerjasama ini menjadi pemangkin penting dalam mempercepatkan pembangunan teknologi semikonduktor tempatan daripada fasa penyelidikan kepada aplikasi industri dan komersial.

Beliau menjelaskan, fokus utama inisiatif tersebut merangkumi pembangunan cip semikonduktor untuk sistem inverter solar generasi baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), meter pintar serta infrastruktur sistem pintar.

“Langkah ini membuktikan peralihan jelas Sarawak ke arah ekonomi berasaskan teknologi tinggi yang dipacu inovasi dan kelestarian, dengan penekanan kepada pengukuhan harta intelek, keupayaan industri serta pertumbuhan sektor bernilai tinggi,” katanya dalam sidang media selepas majlis berkenaan.

Tambah beliau, kerjasama ini turut memperkukuh aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab tenaga hijau serantau menerusi pembangunan projek solar berskala besar termasuk sistem solar bumbung.

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: Kerajaan komited pastikan inisiatif digital negara beri faedah nyata kepada rakyat – Wilson

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.