KUALA LUMPUR: CapitaLand Malaysia Mall REIT Management Sdn Bhd (CMMT) mengambil pendekatan berhati-hati dengan prospek industri, terutamanya pada suku pertama tahun ini susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).
Ketua Pegawai Eksekutif CMMT, Low Peck Chen berkata, industri runcit dijangka terjejas walaupun tidak seteruk seperti PKP 1.0 pada Mac lepas, apabila lebih banyak penyewa dibenarkan beroperasi.
“Kami akan terus menyokong penyewa kami dengan strategi digital kami bagi memacu jualan penyewa dan meneruskan kempen membeli belah di tengah-tengah pandemik Covid-19, termasuk kempen GrabMart yang diumumkan baru-baru ini,” katanya pada sesi media maya semasa taklimat keputusan Suku Keempat 2020 CMMT, baru-baru ini.
Kempen GrabMart itu menampilkan pesanan campur dan padan daripada kedai-kedai di gedung yang sama dan hanya perlu membayar satu bayaran penghantaran.
“Bagi separuh kedua 2021, dengan andaian kawalan bagi membendung penularan Covid-19 adalah efektif, kita akan berada di fasa pemulihan, disokong oleh program vaksinasi bermula Mac 2021 sehingga Suku Pertama 2022 seperti yang diumumkan kerajaan,” kata Low.
Mengulas mengenai pelbagai bantuan yang disediakan menerusi inisiatif kerajaan kepada sektor runcit, Low berkata CMMT mendapat manfaat daripada diskaun 10 peratus bil elektrik serta rebat dua peratus bil elektrik, kerana ia merupakan bahagian yang besar daripada perbelanjaan operasi gedung membeli belah.
“Penyambungan program subsidi juga membantu meningkatkan kos operasi kami ke tahap tertentu,” katanya.
Semasa sesi media maya itu, Ketua Pegawai Kewangan CMMT, Soon Yeong Chyan berkata, bagi Tahun Kewangan 2020 yang berakhir pada 31 Disember 2020, pendapatan hartanah bersih CMMT turun 33.9 peratus kepada RM133.5 juta tahun ke tahun daripada RM202.12 juta manakala bagi Suku Keempat 2020, ia susut 31.7 peratus kepada RM34.0 juta daripada RM49.84 juta.
Dari segi trafik pengguna yang membeli belah, Tahun Kewangan 2020 merekodkan penurunan 42.8 peratus kepada 32,442 daripada 56,688 pada Tahun Kewangan 2019.
CMMT mengumumkan pengedaran seunitnya (DPU) bagi Tahun Kewangan 2020 sebanyak tiga sen, penurunan 52 peratus daripada 6.25 sen pada Tahun Kewangan 2019.
Bagi Suku Keempat 2020 yang berakhir pada 31 Disember 2020, kadar penghunian portfolio CMMT bagi runcit dan pejabat berada pada 86.6 peratus, peningkatan 0.2 peratus berbanding Suku Ketiga 2020 yang berakhir 30 September 2020. – Bernama